HomeMV+EksklusifUMNO tidak berpecah, tegas Zahid

UMNO tidak berpecah, tegas Zahid

PUTRAJAYA : Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan tidak wujud perpecahan dalam parti keramat UMNO yang diterajuinya ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan UMNO tidak berpecah tetapi sengaja diberi gambaran salah oleh orang yang di luar kepimpinan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya MEDIA VARIASI mengenai benarkah dakwaan sesetengah pihak bahawa UMNO sedang berpecah.

“Zaman Tun Dr Mahathir Mohammad ambil alih UMNO tahun 1987 wujud kem UMNO A, UMNO B, C, D lagi banyak berpecah, sekarang ada UMNO A UMNO B ke?

“Gambaran salah diberikan oleh orang yang di luar kepimpinan parti, sepatutnya bergaduh laki bini dalam bilik tidur sahaja, ini duduk gaduh depan pagar tepi jalan itu buat apa?

“Ini contoh gambaran salah yang dimomokkan kepada ahli dan rakyat di luar sana.

“Sebagai contoh majoriti Majlis Tertinggi (MT) setuju ketika keputusan dibuat, jadi UMNO berpecah masa bila? Kacang hantu memang ada lah,” katanya ketika ditemui di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, di sini.

Bagan Datuk, 16 Oktober 2022. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bagan Datuk.

Terdahulu, EXCO Puteri UMNO, Datuk Khaidirah Abu Zahar pernah viralkan satu kenyataan dari seorang wakil Majlis Tertinggi (MT) ketika hadir mesyuarat, apabila perkara itu tular seolah menunjukkan semua yang hadir dalam mesyuarat bersetuju dengan kenyataan wakil berkenaan sedangkan hanya seorang yang kata dan bukan bererti yang lain setuju, perkara itu memberi gambaran salah kepada rakyat.

Untuk rekod, krisis UMNO paling dahsyat berlaku pada tahun 1987, kisahnya bermula apabila Tun Dr Mahathir dan Tun Musa Hitam menyertai UMNO dan kerajaan semasa pemerintahan Tun Abdul Razak.

Mahathir dan Musa sebelum itu dipecat dalam UMNO semasa Tunku Abdul Rahman menjadi Presiden UMNO.

Hal ini kerana mereka berdua lantang mengkritik Tunku ketika itu di mana UMNO mengalami kemerosotan sokongan dalam Pilihan Raya Umum ketika itu.

Tindakan Mahathir dan Musa telah menyebabkan mereka dipecat dan diambil semula menyertai UMNO semasa Tun Razak memimpin.

Bukan sekadar masuk semata-mata namun lebih mengejutkan mereka berjaya menempatkan diri dalam pucuk pimpinan parti. Tengku Razaleigh kekal dalam UMNO dan terus membantu Mahathir membina negara.

Bagaimanapun wujud krisis antara Musa dan Mahathir.

Yang paling diperkatakan ialah Musa tidak dapat bekerjasama dengan Mahathir lagi apabila kerjasama ini sudah tidak mempunyai kepercayaan.

Namun setelah dibentuk satu jawatankuasa pemujuk yang diketuai oleh Almarhum Tan Sri Wan Mokhtar yang ketika itu salah seorang Naib Presiden Umno.

Akhirnya Musa kekal sebagai Timbalan Presiden UMNO tetapi tetap meletakkan jawatan sebagai TPM.

Untuk rekod, krisis pemilihan UMNO tahun 1987 paling dahsyat berlaku yang mewujudkan perpecahan UMNO A dan UMNO B.

Hubungan yang keruh antara Musa dan Mahathir menyebabkan Musa telah berpakat dengan Tengku Razaleigh untuk menentang Mahathir.

Pastinya isu-isu ketidakpuasan hati antara Mahathir dan Musa serta Tengku Razaleigh telah menyebabkan pakatan itu terbentuk.

Pemilihan berkenaan kalah mati antara mereka berdua (Mahathir dan Tengku Razaleigh) termasuk Musa.

Team yang kalah akan gugur dalam medan pertempuran kali ini.

Maka terbentuklah team A apabila Mahathir meminta Tun Ghafar Baba masuk ke dalam perlawanan ini menentang Musa bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO. Manakala Tengku Razaleigh dan Musa dalam team B.

Pemilihan 1987 ini sangat tegang dengan keadaan semua calon menggunakan jentera yang mereka ada sama ada parti mahupun jawatan kerajaan untuk memastikan mereka menang.

Pastinya bagi team A, orang muda nafas baharu iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi jurukempennya memenangkan Mahathir dan Ghafar.

Manakala Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu merupakan Ketua Pemuda UMNO Malaysia merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang telah menyebelahi team B bagi pihak Tengku Razaleigh.

Mengejutkan semua pihak apabila saat-saat akhir apabila Najib telah membuat pusingan ‘U’ apabila menyokong team A pimpinan Mahathir.

Mungkin dengan pusingan U ini menyebabkan team A menang dalam pemilihan tersebut. Hal ini kerana, Mahathir mengalahkan Tengku Razaleigh dengan beza 43 undi sahaja.

Manakala Ghafar pula berjaya menyingkirkan Musa dengan beza undi 41 undi sahaja.

Bayangkan Najib yang memegang undi Pemuda UMNO dan undi bahagian-bahagian dalam negeri Pahang menyokong team B seperti asal dahulu, pastinya pemilihan kali ini telah dimenangi oleh team B.

Antara perkara yang mengejutkan apabila kesemua calon team A menang kecuali Tun Abdullah Ahmad Badawi dari team B, berjaya menempatkan diri sebagai salah seorang Naib Presiden Umno.

Namun kemenangan beliau tidak diiktiraf oleh Mahathir apabila beliau tidak dilantik sebagai menteri Kabinet selama satu penggal pemilihan UMNO, manakala Ghafar diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia selepas Musa.

Pasca pemilihan tersebut, rupanya wujud sekumpulan ahli UMNO yang terdiri dari 11 hingga 12 orang telah membawa kes perwakilan tidak sah terlibat dalam pemilihan kali ini.

Ringkasnya pada 12 Februari 1988, UMNO sudah tidak wujud lagi. Manakala Mahathir merupakan Perdana Menteri yang tidak berparti ketika itu.

Akibatnya Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 manakala Mahathir menubuhkan UMNO Baru.

Sejarah untuk diambil iktibar, adakah ketika ini tindakan ‘broker’ yang bermimpi rumah terbakar dan gigih mencari ejen jualan rumah, ketika rumah sedang dibaik pulih, sedang memutarkan kembali sejarah kejatuhan UMNO tahun 1987?

Jika benar, maka benarlah apa yang Zahid sedang lakukan sekarang, sebenarnya sedaya upaya sedang menyelamatkan rumah daripada dibakar, dijual atau dilelong orang yang memiliki kepentingan tertentu malah tidak ada hak ke atas tanah itu.

Author

Pilihan Editor