JOHOR BAHRU: Menyelesaikan masalah projek perumahan sakit dan terbengkalai di seluruh negara akan menjadi fokus utama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), kata Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Katanya, isu perumahan khususnya melibatkan projek sakit dan terbengkalai sememangnya telah diteliti ketika menjadi Ahli Parlimen dan sebelum memegang portfolio itu.
“Isu projek sakit ataupun rumah yang bermasalah ini seharusnya menjadi tumpuan, malah kalau tengok daripada pandangan yang telah diutarakan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sendiri telah menyatakan akan mengambil inisiatif untuk merangka balik Dasar Perumahan Negara (DRN).
“Itu (DRN) lebih ke arah ke hadapan tetapi hakikatnya ketika ini pun masih banyak lagi rumah-rumah yang bermasalah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pertemuan Bersama Penduduk Kim Teng Park, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai fokus utama KPKT dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Perumahan Negara (JPN) minggu depan bagi meneliti isu-isu berkaitan kementerian selepas persidangan Dewan Rakyat yang pertama di bawah Kerajaan Perpaduan, esok.
“Minggu depan saya akan ada taklimat khusus dengan JPN, kerana sebelum ini maklumat yang saya terima berhubung isu perumahan adalah atas kapasiti Ahli Parlimen, jadi saya rasa lebih elok diberikan peluang untuk meneliti dengan terperinci situasi semasa sebelum membuat perancangan.
“Ruang masa itu perlu untuk saya memahami perkara berkaitan daripada sudut pembuat dasar dan juga peringkat pelaksana agar segala permasalahan bukan hanya dikenal pasti tetapi juga diselesaikan,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata walaupun kementerian lebih memberi tumpuan kepada pembangunan persekutuan, namun kerjasama baik dengan kerajaan negeri dan kerajaan tempatan akan diteruskan demi kesejahteraan rakyat.
Projek perumahan yang dikategorikan sakit adalah projek yang mengalami kelewatan melebihi 30 peratus berbanding kemajuan yang sepatutnya atau telah tamat tempoh Perjanjian Jual Beli (PJB). – BERNAMA