HomeBeritaPindaan Akta Orang Asli 1954 disemak, hapus birokrasi

Pindaan Akta Orang Asli 1954 disemak, hapus birokrasi

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Orang Asli 1954 akan disemak semula dalam usaha mengurangkan karenah birokrasi terlampau membabitkan masyarakat Orang Asli.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melihat keperluan semakan akta membabitkan 19 Seksyen itu berdasarkan keperluan semasa, selain kali terakhir ia dipinda pada tahun 1967.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pindaan itu akan melibatkan kajian perundangan serta sesi libat urus bersama pelbagai pihak termasuk dengan institusi kepimpinan masyarakat Orang Asli.

Katanya, sejak pindaan kali terakhir yang membabitkan semakan pertukaran klausa nama Komisioner kepada Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), tiada isu lain yang disentuh membabitkan akta itu.

“Ada keperluan untuk buat pindaan, dalam akta ada 19 Seksyen, kita akan tengok seksyen berkaitan tetapi isu-isu semasa yang akan dilihat bersama dengan pegawai undang-undang.

“Apa-apa yang ada ‘red tape’, halangan birokrasi terlampau banyak, kalau boleh kita nak cari jalan supaya ia lebih mudah untuk apa-apa bantuan dan sumbangan kepada Orang Asli,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Perdana Batin/Penghulu bersama Pemimpin di sebuah hotel, di sini.

Sementara itu, Ketua Pengarah JAKOA, Sapiah Mohd Nor berkata, perkara itu juga sudah dimaklumkan dalam mesyuarat dasar bersama ketua setiausaha kementerian.

“Kita diminta untuk buat beberapa perancangan di peringkat kajian, bajet dan akan lihat sepanjang tahun ini,” katanya.

Terdahulu, JAKOA selaku jabatan yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal berkaitan Orang Asli telah membuat permohonan untuk meminda Akta 134 pada 2019.

Author

Pilihan Editor