GUA MUSANG: Lebih 200 penduduk orang asli di Kampung Perawas, Pos Balar, berada dalam kegusaran dan kebimbangan berikutan kehadiran seekor beruang dewasa dekat kawasan penempatan mereka sejak minggu lepas.
Penduduk Hasmadi Ghazali, 44, berkata dia ternampak haiwan tersebut berada di kawasan rumahnya dan segera memanggil beberapa penduduk kampung untuk menghalau mamalia itu menggunakan tombak dan pisau.
“Kira-kira 6.30 petang saya terdengar bunyi di tepi rumah dan berasa terkejut mendapati seekor beruang dewasa sedang berjalan menuju ke pokok durian yang ditanam di belakang rumah.
“Saya percaya beruang tersebut masuk ke kampung untuk makan buah durian yang ditanam penduduk. Beruang itu berjaya dihalau penduduk kampung dengan menggunakan tombak dan pisau,” katanya ketika ditemui pemberita di Pos Balar, di sini hari ini.
Dia berkata, beberapa penduduk kampung juga sering terjumpa kesan buah durian dimakan oleh haiwan liar itu, namun minggu lepas merupakan kali pertama berlaku pertembungan antara mereka dengan beruang terbabit.
Bagi Norsiah Along, 48, pula, dia amat khuatir akan keselamatan masyarakat orang asli di perkampungan tersebut terutamanya kanak-kanak yang keluar mencari durian di kawasan kebun.
“Kanak-kanak paling seronok kutip durian gugur dan biasanya setiap awal pagi lagi mereka sudah turun cari durian di kawasan kebun berhampiran rumah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Pengurusan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Saiful Zahlan Muhamad Azmi yang ditemui ketika menyampaikan bekalan makanan kepada penduduk di Kampung Perawas berkata, perkara tersebut telah diambil maklum oleh pihaknya dan akan mengadakan perbincangan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan).
“Kita akan berbincang dari segi kawalan dan langkah-langkah sepatutnya yang perlu diambil untuk mengelakkan haiwan tersebut masuk ke kawasan perkampungan kerana kita tidak mahu haiwan liar itu mengancam keselamatan penduduk,” katanya. – BERNAMA