HomeSukanPertahanan JDT jadi taruhan Sri Pahang FC bagi saingan 2023

Pertahanan JDT jadi taruhan Sri Pahang FC bagi saingan 2023

BARISAN pertahan Sri Pahang FC musim hadapan diperkuatkan dengan kehadiran empat pemain dari Harimau Selatan. 

Pertahanan berpengalaman, Fadhli Shas, 31, bakal memperkasakan barisan pertahanan bersama Muslim Ahmad bagi musim akan datang.

Gandingan mereka berdua ini tidak asing lagi bagi para peminat bola sepak tanah air apabila sebelum ini mereka turut bergading menjadi pertahanan yang kental bagi skuad Harimau Malaya pada kejohanan AFF Suzuki Cup 2010 di bawah kendalian K. Rajagopal.

Selain itu, Syazwan Andik, 26, dan Azrif Nasrulhaq, 31, turut mengikuti langkah Fadhli Shas menyertai Sri Pahang tetapi secara pinjaman.

Syazwan Andik yang sebelum ini dipinjamkan ke Melaka United yakin dengan menyertai Sri Pahang dapat mengembalikan semula prestasinya. 

Selepas kehadiran Syahmi Safari ke skuad Harimau Selatan itu menjadikan posisi pertahanan kanan mempunyai saingan sengit antara Matthew Davies, Syahmi dan Azrif Nasrulhaq. Perkara itu menyebabkan Azrif sering diturunkan bersama skuad JDT II dalam saingan Liga Perdana.

Sri Pahang juga turut mengikat bekas penjaga gol kebangsaan Izham Tarmizi, 31, dari Johor Darul Ta’zim. Pada musim 2022, Izham banyak diturunkan bersama skuad JDT II dalam saingan Liga Perdana seterusnya membantu JDT II menjurai Liga Perdana 2022 mengetepikan saingan dari pasukan Kelantan FC. 

Dengan kehadiran pemain yang berpengalaman pasti dapat membantu Sri Pahang memberi saingan dalam kancah Liga Malaysia 2023 yang akan datang.

Author

Pilihan Editor