NEW YORK: Pengasas FTX Sam-Bankman-Fried mengaku tidak bersalah dalam kes penipuan berbilion dolar terhadapnya di Mahkamah Persekutuan Manhattan pada Selasa, lapor tca/dpa.
Lelaki berusia 30 tahun itu membuat pengakuan tidak bersalah atas dua pertuduhan , termasuk bersubahat untuk pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang kewangan kempen.
Bankman-Fried dituduh mengemudi berbilion dolar yang mengalir melalui platform pertukaran mata wang kriptonya, FTX, di mana pengguna boleh berdagang mata wang, kepada firma dagangan kriptonya, Alameda Research.
Firma itu, bernilai lebih AS$30 bilion pada kemuncaknya dan setelah melalui gelombang pengeluaran wang bermula November, ia diisytiharkan bankrap pada 11 Nov.
Pengakuan Bankman-Fried dibuat selepas pegawai-pegawai tertingginya – termasuk bekas teman wanitanya – turut didakwa dan bersetuju untuk bekerjasama menentangnya.
Carolyn Ellison, 28, adalah bekas teman wanita Bankman-Fried dan Ketua Pegawai Eksekutif Alameda Research. Eksekutif lain yang berpaling tadah, Gary Wang, 29, adalah pengasas bersama FTX. Kedua-duanya telah mengaku melakukan penipuan bank, penipuan sekuriti dan penipuan komoditi.
Semasa Bankman-Fried memasukkan pengakuannya, pendakwa raya persekutuan di Manhattan mengumumkan unit baharu yang didedikasikan secara eksklusif untuk mendedahkan salah laku dalam perkara yang mereka sifatkan sebagai salah satu penipuan terbesar dalam sejarah Amerika.
“Daerah Selatan New York bekerja sepanjang masa untuk bertindak balas terhadap letusan FTX. Ia adalah saat di mana semua orang kena bekerja,” kata Peguam AS Damian Williams.
“Kami melancarkan Pasukan Petugas SDNY FTX untuk memastikan kerja mendesak ini berterusan, digerakkan oleh semua sumber dan kepakaran SDNY, sehingga keadilan tercapai.”
Bankman-Fried telah mengeluarkan bon AS$250 juta — bon praperbicaraan terbesar yang pernah ada untuk mana-mana defendan — sejak penampilan awalnya pada 22 Disember selepas pihak berkuasa persekutuan mengekstradisinya dari Bahamas, di mana FTX beribu pejabat. – BERNAMA