HomeBeritaKes Syamsul Yusof buatkan nikah di sempadan nampak mudah

Kes Syamsul Yusof buatkan nikah di sempadan nampak mudah

CYBERJAYA: Pasangan yang ditangkap bernikah di sempadan negara meningkat lebih 100 peratus daripada lima pasangan sebulan menjadi 10 hingga 15 pasangan sebulan selepas Jun 2022.

Peguam Syarie, Noorhaiza Mariena Mat Ramli berkata, peningkatan itu mempunyai beberapa faktor antaranya ialah tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pasca COVID-19 dan penyebaran maklumat di media sosial.

Noorhaiza Mariena Mat Ramli

Menurutnya, semasa PKP sempadan ditutup menyebabkan pergerakan golongan ini terhalang dan tamatnya PKP menyebabkan sempadan dibuka semula lalu membolehkan mereka merentas negara semula.

“Kita tidak boleh nafikan lah, dulu kita tidak ada media sosial yang sangat besar macam sekarang, sekarang ini semua perkara sangat mudah disebarkan, sebarang maklumat.

“Malah sekarang ini pun kami daripada kalangan peguam sendiri terkejut ada poster promo pakej (nikah di sempadan), ada RM5,000, RM10,000, terpulang kepada pakej, tetapi dia boleh buat sampai ke tahap macam itu,” katanya kepada MEDIA VARIASI pada Selasa.

Mengulas lanjut, Noorhaiza berkata, faktor media sosial ini sebenarnya melibatkan kepentingan awam dari segi siapa dan apa yang dibuat pelaku.

Norhaiza turut memberikan contoh terkini pengarah terkenal, Syamsul Yusof yang mengaku telah bernikah dengan isteri keduanya di Thailand baru-baru ini.

“Saya terpaksa petik jugalah kes yang terkini, Syamsul Yusof, dia adalah orang yang dikenali ramai. Jadi, apabila dia buat sebegitu, membuat pengakuan secara terbuka macam itu, perkara ini telah memberi impak kepada orang ramai.

“Daripada orang yang rasa takut nak buat macam itu, dia buatkan benda itu nampak macam senang untuk dibuat dan macam saya cakap tadi lah, ada promosi dan macam-macam lagi, jadi banyak faktor yang menyumbang kepada peningkatan ini,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, pasangan yang ditangkap bernikah di sempadan ini boleh dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Katanya, kemungkinan denda tersebut boleh ditambah lagi penguatkuasaannya daripada sudut peruntukan undang-undang.

Noorhaiza menyeru kepada semua lelaki yang ingin berpoligami agar melakukannya secara sah di Malaysia, malah katanya, permohonannya juga tidak susah.

Beliau turut menyebut bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad yang membuat pernikahan keduanya di Malaysia secara sah.

“Sekarang ini, macam yang kita tengok kes yang ada, wali pun ikut sendiri, wali pun boleh pergi sendiri, jadi dekat situ lah kita nampak, sedangkan Syamsul Yusof bukanlah orang yang tidak berkemampuan tetapi dia tetap memilih untuk buat benda yang salah.

“Jadi, benda ini lah yang kena ada pemahaman dekat orang luar sebab permohonan poligami di Malaysia tidak susah.

“Saya petik kes Khalid Samad, meskipun dia tahu dia adalah seorang bekas menteri, tetapi dia buat secara permohonan dengan elok secara sah,” ujar Noorhaiza.

Author

Pilihan Editor