HomeBeritaPelanggan hilang selera makan diganggu sindiket pengemis

Pelanggan hilang selera makan diganggu sindiket pengemis

BANGI: Pelanggan di kedai makan berasa amat terganggu dengan kehadiran pengemis yang berselindung di sebalik menjual barangan di premis berkenaan.

Kehadiran pengemis berkenaan menjadi punca pelanggan hilang tumpuan selera makan, tidak dapat meluangkan masa terhad di meja makan bersama rakan atau ahli keluarga.

Pelanggan yang mahu dikenali sebagai Muhammad Hariz Ridzwan, 31, berkata, kedai makan seolah premis wajib dikunjungi sindiket berkenaan, kerana dipercayai pelanggan takkan mudah lari dari penjual.

“Mereka akan datang jual minyak wangi, buku yang entah dari mana, barang mainan.

“Ia sebenarnya satu gangguan kepada pelanggan. Menganggu ketenteraman,” katanya ketika ditemui MEDIA VARIASI.

Muhammad Hariz berkata, golongan ini yang juga warga asing dilihat sengaja mengambil kesempatan ke atas sifat pemurah dan baik hati rakyat Malaysia.

“Tak usah cakaplah kalau bab jual sahaja, mereka warga asing bagaimana boleh menjual, di sini pula tu? Tak reti cakap bahasa Melayu.

“Siapa yang sewajarnya membanteras kegiatan dan ambil tindakan terhadap mereka?” katanya yang turut ditemani ibu bapa makan di premis sama.

Sebagai rakyat Malaysia, dia juga tidak mahu sindiket seperti itu mencemar imej negara kerana kebanyakan negara dilawatinya tidak ada yang akan ke kedai makan dan berbuat perangai sedemikian.

MEDIA VARIASI dalam siri pertama Bongkar sebelum ini melaporkan, penulis didatangi sindiket pengemis diwakili dua wanita mengaku warga Myanmar menjual buku yang dibekalkan bosnya ketika sedang makan di sebuah restoran di Bangi.

Berada di restoran sama hampir dua jam bermula jam 3 petang itu, datang pula wanita warga emas dari Thailand ketika menjual keropok yang digorengnya sendiri kepada pelanggan di kedai sama.

Wanita terbabit juga bagaimanapun mendedahkan terdapat sindiket pengemis membabitkan warga asing dipercayai diuruskan oleh warga Bangladesh.

Tidak lama kemudian, datang seorang lagi warga Rohingya berusia 35 tahun dipercayai didalangi sindiket berlakon lumpuh dan kurang upaya menghampiri orang ramai.

Lelaki terbabit itu sebelum itu dilihat keluar dari sebuah kereta, memakai alat penyokong badan, bertongkat dan boleh berdiri tegak.

Bagaimanapun ‘mengganggu’ orang ramai yang sedang menghadap rezeki masing-masing dilihat tidak sopan dan tidak beradab.

Kehadiran sindiket pengemis ketika orang ramai sedang menghadap rezeki masing-masing dilihat sebagai satu gangguan awam yang menimbulkan ketidakselesaan suasana.

Ada yang datang membawa tisu, buku, pen, jam tangan, minyak wangi, makanan ringan, ada yang kurang upaya (OKU) seperti buta ditemani ‘jurupandu’, ada yang tidak membawa apa-apa kecuali sekeping nota mendakwa dirinya OKU dan memohon bantuan.

Author

Pilihan Editor