KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memberi bayangan akan bertanding pada pemilihan UMNO yang bakal diadakan sebelum 19 Mei tahun ini.
Namun begitu beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional itu tidak mendedahkan jawatan yang akan ditandinginya dengan sekadar memberitahu akan mengumumkannya apabila tiba masanya.
“Dulu saya bertanding sebagai Ahli Majlis Tertinggi, kali ini saya akan tengok macam mana kedudukannya. Saya ini senang sahaja, tidak ada perkara-perkara terdesak saya nak itu atau ini.
“Yang paling mustahak ialah saya boleh menjadi sebahagian daripada pasukan untuk kita bina semula parti ini. Kerusi (jawatan) itu saya akan umumkan nanti,” katanya kepada pemberita ketika melawat laman media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu Zambry turut mengesahkan tiada usul supaya jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan pada pemilihan nanti.
“Walaubagaimanapun mungkin diserahkan kepada perwakilan yang akan membahaskan usul-usul yang dibawa,” katanya.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pagi tadi berkata, beliau menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan sama ada dua jawatan tertinggi parti itu perlu dipertandingkan atau tidak.
Zahid berkata, pelbagai pandangan telah dilontarkan berhubung pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, namun beliau yakin para perwakilan UMNO sudah cukup matang untuk membuat penilaian sesuai dengan proses demokrasi yang diamalkan di negara ini.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah sebelum ini dilaporkan terbuka untuk dicabar oleh sesiapa sahaja yang berhasrat untuk memegang jawatan nombor satu parti itu pada pemilihan parti akan datang Mei depan.
Ia bertujuan memberi peluang kepada kira-kira 160,000 perwakilan untuk memilih pucuk pimpinan parti khususnya bagi jawatan presiden dan timbalan presiden, katanya. – BERNAMA