KUALA LUMPUR: Sebuah kereta jenis Toyota rosak teruk selepas dihempap sekeping pelantar perancah yang jatuh dari tingkat 56 sebuah bangunan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Jumaat pagi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pelantar tersebut jatuh dari sebuah bangunan 80 tingkat yang dalam pembinaan pada jam 8.45 pagi.
Menurutnya, pelantar itu jatuh dan mengenai kereta berkenaan yang diletakkan di hadapan sebuah kedai serbaneka.
“Kejadian bagaimanapun tidak melibatkan kecederaan berikutan pemandu kereta itu berada dalam kedai berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini.
Kejadian tersebut juga telah tular selepas gambar menunjukkan sebuah kenderaan rosak di bahagian bumbung akibat dihempap pelantar itu tersebar di media sosial.