KUALA LUMPUR: Prosiding bela diri oleh pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, di Mahkamah Sesyen hari ini, akan tetap diteruskan dengan tertuduh membacakan penyataan saksi tanpa peguam bela.
Hakim Izralizam Sanusi membuat ketetapan prosiding berkenaan diteruskan berhubung pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom down, Bella.
Prosiding itu kekal dilaksanakan setelah kes terbabit ditangguhkan beberapa kali sebelum ini.
Izralizam bertanyakan sama ada tertuduh sudah melantik peguam bela untuk memulakan prosiding hari ini.
Bagaimanapun, tertuduh menjawab dia sudah memohon dengan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dan memerlukan masa sebulan lagi bagi membuat persiapan akhir termasuk penyerahan dokumen dan meneliti kes itu, lapor Berita Harian pada Khamis.
Tegas Izralizam, prosiding itu perlu diteruskan seperti tarikh ditetapkan bagi memastikan Siti Bainun dapat menyelesaikan pembacaan pernyataan saksi hampir setebal 200 muka surat itu hari ini dan esok.
Bagaimanapun, Siti Bainun turut memberitahu mahkamah, dia tidak membawa sebarang salinan pernyataan saksi hari ini menyebabkan Izralizam menangguhkan sesi itu seketika sebelum menentukan sama ada kes perlu diteruskan atau tidak.
Terdahulu, kesemua peguam daripada lima firma yang membela kes Siti Bainun menarik diri dengan alasan tiada kelapangan masa dan pertindihan jadual kes lain.
24 November lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan tertuduh membela diri berhubung dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella,13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Jika sabit kesalahan, Siti Bainun berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.