HomeBeritaYWP beri peluang kedua golongan tercicir, bekas banduan

YWP beri peluang kedua golongan tercicir, bekas banduan

KUALA LUMPUR: Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang.

Jika diberi peluang kedua, janganlah disia-siakan kerana bukan mudah untuk membentuk kepercayaan semula dan memberikan kembali.

Justeru, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) mahu memberi peluang kedua kepada individu yang mempunyai sejarah kesalahan kecil undang-undang atau lebih dikenali sebagai banduan kemahiran dan penempatan pekerjaan lebih baik untuk mereka.

Golongan ini antara 2,000 warga Wilayah Persekutuan membabitkan belia, gelandangan, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU), warga emas, dan golongan tercicir yang dibantu YWP bagi fasa pertama.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun, YWP membantu dalam aspek mendapatkan sijil, latihan industri dan penempatan kerja melalui program hospitaliti dan operasi darat industri penerbangan menerusi kolaborasi institusi pengajian tinggi (IPT) berkaitan.

“Bekas banduan juga golongan penting yang kita bantu sebab kita memahami ada yang masuk ke sana (penjara) yang tidak dijangka (dianiaya).

“Jadi, kita beri peluang kepada mereka, termasuk anak muda yang ‘drop out’ (keciciran) dalam pelajaran yang kita dapati juga ramai,” katanya.

Zaizalnizan berkata, perolehan pensijilan akan diberikan oleh pihak UPM bagi kedua-dua program hospitaliti dan operasi darat penerbangan itu selepas tempoh 12 bulan mengikuti kursus latihan dengan yuran bantuan YWP berjumlah RM500.

“Mereka hanya perlu membayar yuran komitmen RM100, dengan syarat lahir dan menetap di Wilayah Persekutuan, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Bagi Program Latihan Kerjaya Hospitaliti YWP Bersama Universiti Putra Malaysia Education Training (UPM-ET) dan DHS Hospitality Academy Sdn Bhd sempena Hari Wilayah Persekutuan di Ibu Pejabat YWP, di sini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar UPM-ET, Dr Mohd Kamil Yusoff dan Pengarah Kumpulan DHS Hospitality Academy, Dr S Sri Kumar.

Sementara itu, Mohd Kamil berkata, pendidikan secara tidak formal itu dapat memberi manfaat kepada mereka kerana menerima pengiktirafan UPM.

“Mereka boleh membuat permohonan untuk mendapatkan pekerjaan dengan sijil itu, kerana UPM sendiri berada pada ranking universiti nombor dua negara, jadi sijil itu ada nilai,” katanya.

S Sri Kumar berkata, DHS Hospitality Academy adalah perintis kerjasama kepada belia Malaysia dan Singapura, yang menawarkan 250 program berkaitan perhotelan melalui platform teknologi pendidikan SKILLSPRO.

“Program ini menawarkan insurans kepada pelatih selain rawatan perubatan,” katanya.

Industri hospitaliti menyediakan elaun bulanan dan produktiviti antara RM600 hingga RM750 sebulan manakala industri operasi darat dengan elaun bulanan RM1,500 hingga RM1,900.

Author

Pilihan Editor