SYDNEY: Pasukan yang diketuai penyelidik dari University of Queensland (UQ) telah menulenkan dan mengenal pasti sebatian aktif biologi baharu daripada cendawan Lion’s mane yang boleh meningkatkan pertumbuhan saraf dan daya ingatan, lapor Xinhua.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam Journal of Neurochemistry bulan lepas, sebatian isoindolin yang dipanggil “N-de phenylethyl isohericerin” dan hydrophobic derivative “hericene A” sangat mujarab dalam menggalakkan pertumbuhan akson yang meluas dan percabangan neurit dalam neuron hippocampal yang dikultur.
Penyelidik mendapati tikus yang diberi makan ekstrak mentah cendawan dan “hericene A” mempamerkan peningkatan ekspresi neurotropin dan isyarat hiliran yang menyumbang kepada peningkatan memori hippocampal dengan ketara.
“Ekstrak daripada cendawan itu telah digunakan dalam perubatan tradisional di negara-negara Asia selama berabad-abad dan kami mahu menentukan kesan kemujarabannya terhadap sel otak secara saintifik,” kata pengarang bersama dan profesor UQ Frederic Meunier, pada Jumaat.
Kajian itu memerlukan penyelidikan lanjut mengenai derivatif Hericerin untuk melihat sama ada ia boleh melambatkan penurunan kognitif yang berkaitan dengan penuaan dan penyakit neurodegeneratif.
Seorang lagi pengarang bersama dan rakan penyelidik UQ Ramon Martinez-Marmol berkata penemuan itu boleh digunakan untuk rawatan dan pencegahan gangguan kognitif seperti penyakit Alzheimer.
“Idea kami adalah untuk mengenal pasti sebatian bioaktif daripada sumber semula jadi yang boleh sampai ke otak dan mengawal pertumbuhan neuron yang mampu menghasilkan pembentukan memori yang lebih baik, ” kata Martinez-Marmol. – BERNAMA