KOTA KINABALU: Seramai 40 pelajar seluruh Sabah yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas menerima Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau mahu penerima biasiswa di bawah Yayasan Sabah itu memanfaatkan kesempatan serta peluang keemasan untuk meningkatkan tahap penguasaan ilmu khususnya berkaitan nilai kreativiti dan inovasi untuk menjadi sebahagian pemangkin matlamat kerajaan negeri Sabah.
“Jangan terlalu cepat berpuas hati dengan pencapaian yang diperoleh sebaliknya terus tingkatkan usaha untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang dalam pelajaran sehingga ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan biasiswa itu di Menara Tun Mustapha di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri Gulamhaidar Khan.
Hajiji, yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, berkata setakat ini seramai 675 orang anak-anak Sabah telah menerima manfaat daripada biasiswa berprestij itu dengan perbelanjaan berjumlah RM115.8 juta.
Beliau berkata komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyediakan pelbagai bantuan pelajaran bagi pelajar yang berkelayakan akan diteruskan dalam mendokong usaha pembangunan aspek pendidikan melalui pelan strategik Sabah Maju Jaya.
Sementara itu, seorang penerima biasiswa itu, Mordecai Sierran Rugag, 18, yang memperoleh 11A pada SPM lepas mahu menggunakan biasiswa itu untuk meneruskan pelajarannya di Manipal University College Malaysia (MUCM).
Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata beliau berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang demi mengejar cita-citanya menjadi seorang doktor.
Amanda Cheryl Wong, 18, pula bercadang melanjutkan pelajaran dalam bidang pergigian selepas selesai menjalani Asasi Sains di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dengkil, Selangor.
Anak bongsu dari dua beradik itu juga turut menerima tajaan biasiswa dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kian Kok sejak dari tingkatan satu hingga lima.
“Keinginan saya untuk berjaya itu sangat kuat di samping sokongan daripada ibu bapa dan guru juga membantu untuk mencapai sasaran 10A,” katanya yang juga dari keluarga B40. – BERNAMA