CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 206 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 bagi menyiasat laporan diterbitkan stesen televisyen Awesome TV.
Jabatan Komunikasi Korporat MCMC berkata, siasatan itu susulan kegagalan Awesome TV mematuhi syarat lesen.
Malah, MCMC turut mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi stesen televisyen itu semalam bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung laporan mengenai cadangan mengurangkan bilangan penjawat awam.
“Apabila kertas siasatan dilengkapkan, ia akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan lanjut,” maklumnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut MCMC, jika disabit kesalahan, pesalah boleh dihukum seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 242 iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, MCMC akan mengadakan pertemuan dengan Awesome TV bagi mendapatkan penjelasan mengenai laporan berita yang mendakwa bilangan penjawat awam bakal dikurangkan.
Fahmi berkata, beliau difahamkan Awesome TV telah melakukan enam pelanggaran berhubung menerbitkan bahan berita yang dilihat tidak mematuhi peraturan dan undang-undang.
Mengulas lanjut, MCMC menegaskan bahawa pihaknya memandang serius terhadap aduan pengguna dan komited dalam usaha mempertingkat tahap pematuhan para pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan Individu (CASP-I) supaya kandungan yang disiarkan mencerminkan budaya, identiti dan norma-norma masyarakat, selaras AKM 98 dan Kod Kandungan.
“Setiap aduan yang diterima akan diteliti berdasarkan peruntukan AKM 1998, peraturan-peraturan yang berkaitan di bawahnya dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Antara tatacara atau proses aduan yang dibuat adalah seperti memanggil pihak penyiar yang diadukan untuk tampil mengemukakan penjelasan bagi menentukan bentuk tindakan penguatkuasaan yang akan diambil,” ujarnya.