HomeMV+EksklusifTak sanggup anak kedua dibin Abdullah, isteri pempengaruh TikTok tular isu pengabaian

Tak sanggup anak kedua dibin Abdullah, isteri pempengaruh TikTok tular isu pengabaian

DAMANSARA: Isteri kepada seorang pempengaruh TikTok telah menularkan isu pengabaian suaminya itu yang menyebabkan anak kedua mereka yang lahir 53 hari lalu dianggap anak tak sah taraf.

Norsufia Johari telah memuat naik video di akaun TikTok miliknya mengenai rasa kecewa dan sedihnya apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) meminta bayi mereka dibinkan Abdullah atau 99 nama Allah.

Ia berlaku kerana mengikut syarat JPN, kedua ibu bapa biologi perlu menyerahkan MyKad asli ketika membuat pendaftaran kelahiran.

Bagaimanapun suaminya tidak pulang dan mendaftarkan kelahiran anak keduanya itu selepas dilahirkan.

Video berkenaan telah ditonton 2.3 juta orang dan rata-rata netizen bersimpati terhadap usahawan kopi kurus itu.

Norsufia menceritakan, suaminya tidak pulang ke rumah sejak Disember lalu iaitu sebelum kelahiran anak kedua mereka.

“Ketika itu dia sudah ada hubungan dengan seorang artis dan langsung tidak pulang ke rumah.

“Kami bernikah sejak 2017 ketika anak pertama tiada isu timbul, dia berubah selepas mula popular di TikTok.

“Melahirkan bayi tanpa suami di sisi dan menguruskan tempoh berpantang seorang diri tidak seperit hati apabila mendengar anak dikategori tak sah taraf jika suami tidak hadir serah MyKad asli.

“Saya terpaksa buat laporan polis memaklumkan ada sijil nikah yang sah dan ini bayi kedua kami, cuma suami abaikan tanggungjawab gara-gara orang ketiga,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Norsufia membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi dan juga aduan di Persatuan Pengguna Islam Malaysia.

 

Suami Norsufia mula popular di TikTok kerana sering berkongsi cara pemasaran produk di media sosial dan dikatakan mengenali artis berkenaan di platform berkenaan.

Dalam pada itu, Norsufia memberitahu, sewajarnya satu mekanisme yang lebih efisien diwujudkan bagi mengelakkan isu seperti ini berlaku.

“Sewajarnya sudah cukup dokumen perkahwinan atau mungkin satu laporan pengesahan DNA anak dari kedua-dua ibu bapa bagi memudahkan urusan pendaftaran.

“Tak perlu menunggu dokumen bapa jika bapa tiada, ada tugas luar daerah dan sebagainya, ia menyusahkan,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor