HomeHiburanKonsert Muse ‘The Will of The People’ Tour di KL Julai ini!

Konsert Muse ‘The Will of The People’ Tour di KL Julai ini!

CYBERJAYA: Saat dinanti-nantikan telahpun tiba, kumpulan muzik rock antarabangsa, Muse akan mengadakan konsert Muse ‘The Will of The People’ Tour 2023 di Kuala Lumpur pada 29 Julai depan.

Menariknya, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang terpilih untuk menjadi pentas utama bagi Muse tour di Asia.

Menurut Muse, mereka sangat berbesar hati dan teruja untuk hadir ke Malaysia.

“Kami sangat berbesar hati untuk datang dan membuat persembahan di negara yang indah dan menakjubkan ini. Kami tidak sabar untuk berjumpa anda semua di sana. Kami akhirnya kembali ke Malaysia pada 29 Julai 2023,” kata wakil Muse.

Pada masa sama, pihak penganjur, Hello Universe menyasarkan hampir 100,000 kapasiti orang ramai tampil memeriahkan suasana konsert Muse ‘The Will of The People’ Tour 2023 di Malaysia itu.

Malah, Hello Universe turut berharap dengan kehadiran eksklusif Muse di jelajah ‘Will of the People’ di Malaysia, diharapkan dapat menaikkan prestij Malaysia di mata dunia sekali gus menarik minat seluruh peminat fanatik kumpulan itu dari setiap pelusuk negara dan benua terutamanya dari benua Asia Tenggara, Asia Utara dan Australia.

Justeru, bagi anda yang berminat untuk memeriahkan konsert Muse, tiket pra-jualan akan mula dijual mulai 2 Mac ini pada jam 10 pagi waktu tempatan.

Manakala jualan tiket kepada orang awam pula akan mula dijual pada 3 Mac,  jam 10 pagi waktu tempatan.

Harga tiket bermula dari RM350 hingga RM950 dan boleh dibeli melalui dalam talian di web ticket2u.com.my

Untuk rekod, Muse merupakan antara 10 kumpulan rock terbaik dunia selain telah mendapat pengiktirafan secara meluas sebagai salah satu Live Band terbaik di dunia dan memenangi anugerah Grammy dua kali.

Album baru Muse, ‘The Will of The People’ dihasilkan sepenuhnya oleh ahli kumpulan berkenaan dengan mengambil kira unsur-unsur ketidakpastian dan ketidakstabilan dalam krisis dunia semasa yang semakin meningkat.

Author

Pilihan Editor