KEPALA BATAS: Sebanyak 586 pengusaha makanan di seluruh negara kini berdaftar bagi menawarkan Menu Rahmah di restoran mereka.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Roziah Abudin berkata, penawaran Menu Rahmah pada harga serendah RM5 tidak akan merugikan peniaga sebaliknya membawa impak positif.
“Kita menerima maklum balas daripada pengusaha makanan dengan mereka menyatakan inisiatif Menu Rahmah ini menjadi ‘crowd puller’ (daya penarik).
“Dengan kehadiran lebih ramai pihak, keuntungan yang mereka dapat itu adalah daripada jumlah jualan yang terhasil,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Menu Rahmah di Bafana Roasters Sdn Bhd di Bertam hari ini.
Menurut Roziah, Menu Rahmah yang ditawarkan bukan sahaja terhad kepada rakyat golongan B40 malah kepada T20.
Beliau berkata, tiada diskriminasi terhadap rakyat kerana inisiatif Menu Rahmah bertujuan menyediakan hidangan standard yang ditawarkan pada harga RM5.
“Kita harap lebih ramai pihak yang akan turut serta menawarkan Menu Rahmah secara suka rela,” katanya.
Roziah berkata, pihaknya berharap program tersebut berterusan agar dapat dijadikan sebagai budaya masyarakat Malaysia terutama dalam kalangan pengusaha makanan bagi menawarkan satu bentuk menu makanan pada harga berpatutan. – BERNAMA