KUALA LUMPUR: Kebajikan anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus dibela dan ia dilihat menjadi antara keutamaan Kerajaan Perpaduan yang diterjemahkan menerusi peruntukan serta pelbagai inisiatif yang dibentangkan dalam Belanjawan 2023.
Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) yang juga penganalisis pertahanan, Dr Azmi Hassan berkata, pelaksanaan Program Kerjaya Kedua Veteran ATM menerusi kerjasama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mencerminkan keseriusan kerajaan dalam memastikan veteran ATM yang berpencen terus mempunyai sumber pendapatan
“Dalam belanjawan kali ini yang menarik perhatian saya ialah kesinambungan (kebajikan) veteran ATM itu dijaga. Bukan sahaja melalui pemahiran semula tetapi juga peningkatan kemahiran bagi menjamin anggota ATM yang tidak lagi berkhidmat terus mempunyai punca pendapatan.
“Selain itu pembaikan rumah, membina rumah yang lebih mampu dimiliki juga menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan warga ATM. Itu sebenarnya yang ditekankan dalam RM17.7 bilion itu,” katanya kepada Bernama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan itu Jumaat lepas menyatakan Program Kerjaya Kedua Veteran ATM bakal memanfaatkan 5,000 anggota yang berpencen tahun ini dan mereka akan dipadankan dengan peluang pekerjaan atau menerima latihan kemahiran untuk meningkatkan peluang menjana pendapatan.
Anwar turut mengumumkan peruntukan RM500 juta untuk menyelenggara rumah keluarga ATM yang lapuk selain membina 7,000 unit rumah mampu milik di bawah program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR), bagi membantu pemilikan rumah kepada anggota ATM secara berfasa.
Sementara itu, Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Nazim Rahman berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan memperuntukkan 70 ekar tanah milik syarikat bagi menjayakan Program Kerjaya Kedua kepada veteran ATM.
“Kumpulan LTAT dan rakan strategik yang lain juga akan bekerjasama menyediakan latihan yang komprehensif untuk meningkatkan peluang pekerjaan serta penjanaan pendapatan, sekali gus memberi perlindungan sosial yang diperlukan veteran,” katanya.
Prof Dr Mohd Kamarulnizam Abdullah dari Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia pula berkata, tidak mengejutkan apabila tiada lonjakan besar diterima kementerian itu menerusi belanjawan kali ini.
“Dengan keadaan ekonomi negara, untuk kita beli aset pertahanan baharu memang sukar memandangkan kosnya yang sangat tinggi. Bagi saya fokus seharusnya beralih kepada penyelenggaraan aset sedia ada. Aset lama misalnya yang berusia lebih 20 tahun sekali pun kalau dijaga baik, masih dapat berfungsi dengan elok.
“Bagaimanapun, harapan saya adalah apabila sumber ekonomi negara sudah semakin stabil dan pulih di masa hadapan, kerajaan akan menggantikan segera aset sedia ada agar seiring dengan negara-negara jiran kita,” katanya.
Belanjawan 2023 turut memperuntukkan RM4.1 bilion bagi menyelenggara dan membeli aset-aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan.- BERNAMA