KUALA LUMPUR: Pelakon dan usahawan, Wawa Zainal menegur para blogger supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjadi fitnah hanya untuk mendapatkan berita sensasi.
Wawa berkata demikian bagi mengulas tindakan sebuah portal hiburan terkenal yang menggunakan fotonya bersama suami,Aeril Zafrel bagi paparan artikel mengenai isu syarikat potong gaji pekerja.
“Sebenarnya tiada siapa tuduh Wawa dan Aeril, ia cuma spekulasi yang diwujudkan portal berkenaan, tiada tanda soal, gambar kami ‘setepek’ keluar.
“Ingin saya jelaskan sekali lagi, syarikat kami tidak pernah potong gaji staf malah beri bonus berganda, percutian luar negara, duit membeli belah dan lain-lain, setakat saya tahu staf gembira dengan apa mereka dapat.
“Jadi apabila tersiarnya artikel blogger itu, pekerja kami tertekan diasak orang luar mengenai kesahihan berita itu dan ada pula yang dipaksa untuk mengakui.
“Kami tak nak rosakkan hubungan dengan media, Wawa nak minta maaf kalau ada yang tersinggung tetapi terpaksa teruskan tindakan untuk memberi pelajaran,” katanya kepada media.
Baru-baru ini, Aeril Zafrel turut meluahkan rasa berang terhadap sebuah portal hiburan yang didakwa menyebarkan berita palsu mengenai dirinya dan isteri.
Menerusi hantaran di Instagram, Aeril dilihat memuatnaik tangkap layar keratan artikel yang memaparkan wajahnya dan isteri serta menegaskan bahawa pihaknya telah memberikan bonus kepada pekerja mereka, tahun lalu.
Terdahulu, Wawa atau nama sebenarnya, Siti Hawa Zainal Abidin, meraikan Leaders dan Resellers Wawa Cosmetics dengan tema Bollywood Wawa Glamourous Bolly Night & Awards di Hotel Tenera, di sini pada Sabtu.
Hadir memberi persembahan iaitu pelakon dan penyanyi, Kilafairy dan penyanyi sensasi Tiktok, Putribollycover.
Malah, sempena hari ulang tahun perkahwinan yang ke-12, Wawa turut melancarkan produk baharu True Love Lip Care mengandungi produk Lip Treatment dan Lip Matte dengan tekstur ringan untuk bibir kekal hidrasi, lembut dan licin sepanjang hari yang dibaluti dengan bungkusan kotak mewah.