CYBERJAYA: Dua individu ditahan termasuk seorang pelajar kolej swasta kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah pada 25 dan 27 Mac lalu.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, tangkapan dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik lbu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (JSJN IPK KL) dalam dua operasi berasingan di sekitar Lembah Klang.
Menurutnya, pelajar kolej swasta berusia 19 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di Jalan 9, Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur pada 25 Mac lalu.
“Sejumlah 6 kilogram (kg) kek mengandungi dadah jenis ganja dianggarkan bernilai RM21,000 berjaya dirampas.
“Suspek tidak memiliki rekod kesalahan lampau dan aktif menjalankan pengedaran kek brownies ganja sejak tiga bulan lepas.
“Punca bekalan masih dalam siasatan dan ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas daripada sebarang jenis dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes kedua pula membabitkan seorang lelaki warga Indonesia yang ditahan dalam serbuan di Subang Jaya, Selangor.
“Suspek merupakan buruh kebun dan berusia 31 tahun serta rampasan melibatkan 56kg dadah jenis ganja bernilai RM166,000 dan syabu (1kg) bernilai RM26,000.
“Dadah jenis ganja itu dijumpai di dalam bekas yang ditanam pada kedalaman 1 meter (m) di kawasan tanah terbiar dan dia berperanan untuk menjaga bekalan dadah yang ditanam itu.
“Suspek tidak memiliki rekod lampau namun didapati positif dadah jenis methamphetamine,” ujarnya.
Tegas Yahaya, kesemua suspek direman selama tujuh hari dari tarikh tangkapan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut.