HomeHiburan‘Segan nak beritahu’ - Shuib nikahi Watie Jun depan 

‘Segan nak beritahu’ – Shuib nikahi Watie Jun depan 

 

CYBERJAYA: Pelawak dan penyampai radio Suria FM, Shuib mengakui akan mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan, Watie Hanafiah pada Jun depan.

Shuib atau Shahmira Muhamad, 39, berkata, dia sedia menerima mana-mana pihak yang mahu memberi tajaan buat majlis perkahwinannya itu.

Tambah Shuib, dirinya terbuka untuk menerima tajaan yang bakal memberi keuntungan kepada kedua-dua belah pihak.

“Dalam istilah tajaan ini, sudah tentu kedua-dua pihak akan mendapat keuntungan. Jadi kenapa pula kami nak menolak.

“Kalau ada yang nak bekerjasama, saya dapat sekian sekian dan mereka pun boleh mendapat liputan, jadi tak salah sekiranya kita bekerjasama. Kalau memang ada yang nak menaja, Alhamdulillah rezeki kami,” katanya seperti dilapor mStar.

Bagaimanapun, Shuib tidak merancang untuk membuat majlis besar-besaran mahupun terlalu ringkas.

Jelasnya, perkahwinan itu merupakan sejarah pertama buat bakal isterinya dan berharap hari bahagia berjalan lancar disamping kehadiran keluarga dan sanak-saudara.

“Bagi Watie sendiri, ini merupakan perkahwinan pertamanya. Jadi mungkin keluarga dia nak meraikannya. Insya Allah majlis kami nanti tak berapa grand, tetapi tidak juga terlalu ringkas,” ujarnya.

Menurut Shuib, hampir 30 peratus persiapan perkahwinan telah dibuat namun mengakui berasa malu untuk berkongsi tentang majlis perkahwinannya itu.

“Dewan dah tempah. Saya sebenarnya rasa malu nak bercerita fasal ni. Nak kongsi dengan kawan pun saya rasa malu. Insya Allah majlis pernikahan dan bersanding akan diadakan serentak Jun nanti,” katanya.

Jalinan mesra antara Shuib dan Watie mula menjadi perhatian netizen apabila pasangan terbabit dilihat berpakaian sedondon ketika menonton konsert Dewa 19 pada September tahun lalu.

Untuk rekod, Shuib sebelum ini mendirikan rumah tangga bersama penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin pada 2011 dan dikurniakan empat orang cahaya mata.

Namun, Siti Sarah disahkan meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 pada 9 Ogos 2021.

Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)

Author

Pilihan Editor