CYBERJAYA: Penyanyi bersuara mirip seniman agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee iaitu P Radhi muncul dengan lagu pertama bertemakan hari raya berjudul ‘Salam Hari Raya’.
P Radhi atau nama sebenarnya, Muhammad Radhi AB. Rahman berkata, dia bersyukur kerana dapat mengeluarkan lagu original pertamanya itu bawah naungan syarikat Luncai Emas.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada syarikat Luncai Emas kerana percaya pada saya membawa lagu tersebut dan juga terima kasih pada team yang juga menjayakan lagu raya ini.
“Tidak lupa juga, saya ingin berterima kasih pada semua yang tidak henti-henti menyokong saya dan juga sentiasa di belakang saya. Lagu ini untuk anda, terima kasih Alhamdulillah,” katanya.
Menurut P Radhi, sejak kebelakangan ini dia sudah tidak teruja untuk menyambut hari raya kerana ibu bapanya sudah tiada.
Namun, dia rasa tersentap selepas menyanyikan lirik lagu yang ditulis oleh Keon.
“Tapi setelah menyanyikan lirik yang ditulis oleh abang Keon dan abang Wan tersebut, saya tersentap, kita perlu akur sebenarnya bahawa Aidilfitri ialah hari kemenangan dan hari kebesaran untuk umat islam yang berjaya mengharungi dugaan Ramadan.
“Bagi saya Aidilfitri juga dilihat sebagai cermin untuk kita menilai, ada kemajuankah dari segi kehidupan dan amalan sepanjang Ramadan. Jadi kita perlu meraikan Aidilfitri dengan gembira. Insya Allah,” ujarnya.
Salam Hari Raya secara rasmi boleh distrim di semua platform digital bermula 14 April ini, manakala muzik video juga akan dilancarkan pada hari yang sama di YouTube Luncai Emas.
Terdahulu, P Radhi menjadi popular selepas lagu ‘cover’ Tiara dan Suatu Masa yang dikatakan suara mirip seniman negara Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)