PETALING JAYA: Pembubaran awal Parlimen, tahun ini akan dilihat sebagai jalan penyelesaian terbaik mengembalikan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi negara.
Keluarga Malaysia Teguh Bersama yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini sedang dilihat bersemarak dalam segenap lapisan masyarakat sekali gus menyaksikan pentadbiran pemimpin negara itu semakin lancar.
Justeru, Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao Naidu berkata, kerajaan sekarang tidak perlu melewatkan lagi pembubaran Parlimen sepertimana yang pernah berlaku ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak meskipun memfokuskan pelaksanaan manifesto.
“Saya minta Datuk Seri Ismail janganlah tersilap langkah seperti sebelum ini. Momentum Keluarga Malaysia tengah baik, memuncak, tiada isu, jadi eloklah bubar sekarang.
“Cuma dulu Datuk Seri Najib nak tunaikan manifesto, dia seorang pekerja, dia kroni untuk rakyat, itu sebab lambatkan PRU (bubar Parlimen),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengedarkan 300 Jalur Gemilang secara percuma kepada pemandu kereta dan penunggang motosikal, yang melalui hadapan Kompleks Beli-belah Digital, di sini.
Ia anjuran PMSP dengan kerjasama RS Park Sdn Bhd bersama Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil & Sederhana Malaysia (IKHLAS).
Ramesh juga berkata, beliau menolak jika tercalon dalam PRU akan datang, sebaliknya mahu membantu semua calon BN sebaik mungkin.
“Saya tak akan jadi calon, kalau tercalon pun saya tak mahu. Yang penting ikhlas (bantu),” katanya.