CYBERJAYA: Pelawak dan pelakon, Jiggy Masin, 33, mengesahkan sudah mendirikan rumah tangga dengan atlet terjun negara, Nur Dhabitah Sabri, 23, dalam sebuah majlis tertutup, kelmarin.
Jiggy berkata, dia dan Dhabitah itu tidak berhasrat merahsiakan pernikahan, cuma menunggu masa sesuai untuk berkongsi khabar gembira.
“Alhamdulillah, dengan sekali lafaz saya sah menjadi suami kepada Nur Dhabitah pada Jumaat lalu. Majlis akad nikah diadakan secara tertutup, dihadiri 150 ahli keluarga sahaja.
“Jujurnya, kami tiada niat nak sorok, hanya lebih kepada menjaga amanah keluarga untuk tidak mengumumkan apa-apa selagi hubungan belum sah.
“Jadi, saya mahu meminta maaf kepada rakan media kerana tidak memberi maklum balas terhadap sebarang pertanyaan mengenai hubungan kerana menghormati janji kepada keluarga,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Menurut Jiggy atau nama sebenarnya, Mohamad Aizat Ahmad Nazri, mereka merancang untuk meraikan hari bahagia menerusi sebuah majlis resepsi, namun belum menetapkan tarikh memandangkan Nur Dhabitah akan ke China selama sebulan.
“Insya-Allah, saya dan isteri akan mengadakan majlis resepsi, tetapi ia masih dalam perbincangan sebab kami sibuk dan Nur Dhabitah pun terbabit dengan da pertandingan besar termasuk Sukan Olimpik di Paris pada 2024.
“Isteri juga perlu ke China dalam sebulan untuk sesi latihan. Namun bila sudah ada tarikh, insya-Allah saya maklumkan,” katanya.
Berkongsi lanjut mengenai perkenalan, Jiggy berkata, dia dan isteri sudah mengenali sejak setahun lalu selepas bertemu pada sesi fotografi.
“Saya dan Nur Dhabitah sudah kenal lebih setahun lalu. Mulanya, kami berkawan selepas berjumpa pada sesi fotografi.
“Kemudiannya, secara kebetulan ada penggambaran program bersama. Jadi, dari situ kami mulai rapat, tetapi masih tiada perancangan berkahwin.
“Namun, Alhamdulillah jodoh kami sampai hari ini,” ujarnya.
Terdahulu, Jiggy mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 selepas empat tahun bercinta dengan pengacara dan pelakon, Elly Ariffin.
Namun, jodoh terlerai pada 30 Januari 2020 dan tidak dikurniakan cahaya mata.