KUALA LUMPUR: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menyatakan mereka tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pemimpin jika ianya hanya sekadar untuk memenuhi agenda politik kumpulan tertentu.
Presiden PUTRA, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, menjelang pilihan raya di enam buah negeri, mereka harus mengetahui perkembangan politik semasa di negeri-negeri yang terlibat.
“Kita boleh memberi sokongan pada lain-lain pihak, kita boleh ada kerjasama politik ataupun apa sahaja cuma tinggal lagi kepada PUTRA walaupun kecil kita tidak akan menggadaikan maruah dan prinsip perjuangan iaitu harga diri PUTRA.
“Dari segi perjuangan, kita tidak akan ada tolak ansur jadi bermaknanya kita tidak akan ada pakatan ataupun bekerjasama dengan mana-mana pemimpin kalau ianya hanya sekadar untuk memenuhi agenda politik kumpulan.
“Pihak-pihak tertentu kecuali mereka (parti lain) menghormati kita, kita menghormati mereka, agenda mereka agenda kita selari ataupun setidak tidaknya ada kesefahaman dari segi matlamat untuk membela bangsa dan juga membina negara bangsa,” katanya sewaktu ditemu bual dalam majlis sambutan aidilfitri sempena ulang tahun PUTRA yang ke-4, hari ini.
Tambahnya, kehancuran umat Islam sehingga hari ini adalah bermula daripada orang melayu itu sendiri.
“Pemimpin yang hipokrit, pemimpin yang munafik dan tidak kira pada parti mana sekalipun rakyat patut kenal mana pemimpin yang hipokrit mana pemimpin yang munafik mana pemimpin yang pembohong.
“Pemimpin yang istiqomah mana pemimpin yang bersih mana pemimpin yang Berakhlak inilah yang kita coba tonjolkan sebagai alternatif kepada rakyat kalau tidak pilihan raya ini semata mata pesta untuk melantik wakil rakyat supaya dapat gaji, dapat pangkat dapat jawatan dan rakyat di momokkan,” ujarnya.
Parti Putra Perkasa Malaysia (PUTRA) mula ditubuhkan pada 8 Mei 2019 apabila menerima surat perutusan daripada pihak pendaftar pertubuhan dan dilancarkan pada bulan September 2019 di padang bola kampung baru, Kuala Lumpur.
Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)