DUBLIN: The Irish Times telah memohon maaf kerana menerbitkan pendapat yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI), di samping editornya menggariskan cabaran yang dihadapi oleh industri berita, lapor berita Jerman (dpa).
Ruadhan Mac Cormaic berkata, akhbar itu kesal kerana menerbitkan op-ed atau ruangan pembaca bertajuk “Irish women’s obsession with fake tan is problematic” pada pagi Khamis.
Nama pengarang dikenali sebagai Adriana Acosta-Cortez, digambarkan sebagai pengendali kesihatan berusia 29 tahun dari Ecuador yang tinggal di utara Dublin.
Pada petang Jumaat, beberapa orang di media sosial mempersoalkan sama ada foto dan nama penulis ruangan op-ed itu milik manusia sebenar.
Menjelang kira-kira jam 5.30 petang (1630 GMT) pada Jumaat, ruangan pendapat itu telah dialih keluar dan digantikan dengan sebaris ayat berbunyi: “Artikel ini telah dialih keluar sementara menunggu pemeriksaan”.
Di ruangan editor pada Ahad, Mac Cormaic berkata, akhbar itu telah menjadi mangsa penipuan yang disengajakan dan tidak “memandangkan remeh perkara ini”.
“Ia adalah pelanggaran kepercayaan antara The Irish Times dan pembacanya, dan kami benar-benar memohon maaf.
“Insiden itu telah menyerlahkan jurang dalam prosedur pra-penerbitan kami. Kami perlu menjadikan mereka lebih mantap – dan kami akan melakukannya,” katanya.
Mac Cormaic berkata, insiden itu menggariskan satu daripada cabaran yang dibangkitkan oleh AI generatif untuk organisasi berita.
Beliau berkata, The Irish Times bekerja keras untuk menghasilkan percambahan pemikiran dalam ruangan pendapatnya untuk “memaklumkan, merangsang dan memberikan perspektif baharu tentang isu semasa”.
Bagaimanapun beliau mengakui akhbar itu “tersalah langkah” pada Khamis.
“Kami telah menerbitkan ruangan pendapat dalam talian di bawah tajuk “Irish women’s obsession with fake tan is problematic” yang ditulis oleh seseorang yang mengaku sebagai wanita muda berasal dari Ecuador dan menetap di Ireland. – BERNAMA-dpa