JIUQUAN (CHINA): Kapal angkasa Shenzhou-16 dijadualkan dilancarkan pukul 9.31 pagi Selasa (waktu Beijing) dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China, umum China Manned Space Agency (CMSA) pada Isnin, lapor Xinhua.
Shenzhou-16 akan membawa tiga angkasawan Jing Haipeng selaku komander bersama Zhu Yangzhu dan Gui Haichao, kata Timbalan Pengarah CMSA, Lin Xiqiang, pada sidang akhbar.
Misi penerbangan itu adalah yang kedua dilaksanakan di bawah program angkasa lepas kendalian China pada tahun ini.
Anak kapal akan berada di orbit selama lima bulan.
Pelancaran itu menggunakan roket pengangkut Long March-2F yang akan diisi dengan propelan, kata Lin. – BERNAMA-XINHUA