CYBERJAYA: Gara-gara 12 batang gigi dicabut sehingga berlaku pendarahan tidak terkawal, seorang warga emas berusia 64 tahun, Som Sak Khum Khrong, meninggal dunia di Hospital Singburi, Thailand.
Menurut laporan Thaiger, anak perempuan mendiang, Chanthana Khum Khrong berkata, ayahnya pernah mendapatkan rawatan di hospital yang sama kerana menghidap penyakit hati.
Katanya, rawatan itu bermula sejak 12 Mei dan dimasukkan ke hospital sehingga 15 Mei kerana rawatannya memerlukan antibiotik.
Chanthana mendedahkan, pada 23 Mei lepas, pihak hospital menyarankan agar 12 batang gigi ayahnya yang sudah mereput dikeluarkan dalam dua peringkat iaitu, tujuh batang gigi dicabut pada peringkat pertama dan selebihnya pada peringkat kedua.
Namun, Chanthana tidak faham mengapa perlu mencabut gigi sebanyak itu sedangkan kesihatan ayahnya tidak membenarkan prosedur tersebut dijalankan.
Bagaimanapun, selepas menjalani prosedur terbabit, Som Sak mengalami pendarahan tanpa henti sepanjang malam dan hanya diberikan kain kasa untuk digigit sehingga membuatkan Som Sak tercekik kain tersebut.
Tambahnya, jururawat terbabit mengugut untuk menolak merawat Som Sak menggunakan ubat-ubatan mahal yang boleh menghentikan pendarahan itu.
Lebih menyedihkan, wakil dari Hospital Singburi yang ditemui semasa upacara pengebumian mendiang ayahnya di Tokong Wat Sadao hanya mengucapkan takziah tanpa memberikan penjelasan mengenai kejadian demikian.
Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)