HomeBeritaJangan sembunyi salah laku pegawai kerajaan - Toqqi

Jangan sembunyi salah laku pegawai kerajaan – Toqqi

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu kerajaan bertindak telus dengan tidak menyembunyikan salah laku pegawai mereka.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan mengulas insiden di KLIA membabitkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah selaku pegawai tertinggi yang dikatakan menengking dan memalukan pegawai bawahannya di Jabatan Imigresen.

“Pastinya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Imigresen ada membuat penyiasatan terhadap KPPA.

“Menteri Dalam Negeri sendiri dalam kenyataannya mendakwa pegawai yang ditengking itu dikenali sebagai seorang berhemah dan baik budi bahasanya.

“Perbuatan adalah sikap yang tidak boleh disorok, jadi kami mewakili rakyat meminta agar kerajaan tidak sembunyikan apa sahaja salah laku jika ia benar berlaku.

“Dedahkan hasil siasatannya untuk pelajaran pada yang lain, sikap angkuh dan sombong pegawai atasan bukan sahaja berlaku dalam kerajaan malah swasta ” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Baru-baru ini tular insiden KKPA dikatakan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Memandang serius dakwaan berkaitan, JPA mengesyorkan supaya perkara itu disiasat sewajarnya oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

JPA dalam satu kenyataan menegaskan segala pertuduhan terhadap KPPA adalah tidak berasas dan berniat jahat untuk menjatuhkan imej beliau sebagai pegawai tertinggi kerajaan.

Menurut kenyataan itu, KPPA telah menegur pihak Imigresen di KLIA berhubung ketidakpatuhan amalan dan prosedur di mana pegawai tidak menyemak dokumen perjalanan dan pasport KPPA serta delegasi ke luar negara, dan sebaliknya mereka diarahkan terus ke kaunter pemeriksaan kastam untuk meneruskan perjalanan.

JPA berpandangan bahawa ketidakpatuhan dalam menyemak dokumen imigresen seperti pasport adalah satu kesalahan yang serius di sisi undang-undang. Malah, pegawai yang tidak mematuhi peraturan Imigresen ke luar negara boleh diambil tindakan tatatertib.

Author

Pilihan Editor