NEW YORK: Dunia pada tahun 2022 kehilangan kawasan hutan hujan semula jadi seluas negara Switzerland, menurut Agensi Berita Jerman (dpa) memetik satu kajian baharu.
Sekitar 4.1 juta hektar hutan hujan primer lenyap, sebahagiannya musnah akibat kebakaran, terutama disebabkan oleh aktiviti penebangan hutan.
Pengiraan oleh Institut Sumber Dunia (WRI) di Washington, yang diterbitkan pada Selasa, menganggarkan kawasan hutan sebesar 11 padang bola sepak hilang setiap minit.
WRI yang mendapati kawasan tropika kehilangan 10 peratus lebih banyak hutan hujan primer pada tahun 2022 berbanding 2021, menyifatkan kadar kemusnahannya “berterusan”.
Hutan primer atau hutan semula jadi yang sebahagian besarnya tidak disentuh oleh manusia, sangat penting dalam pemuliharaan biodiversiti dan penyimpanan karbon dioksida.
Menurut laporan itu, hutan tropika di Brazil dan Republik Demokratik Congo terjejas teruk, dengan penebangan hutan meningkat secara mendadak di Ghana dan Angola di Afrika dan Bolivia di Amerika Selatan.
Sebaliknya, beberapa negara termasuk Indonesia dan Malaysia, mengekalkan kehilangan hutan masing-masing pada tahap agak rendah pada tahun 2022.
Dengan bantuan platform Global Forest Watch, banyak organisasi pemuliharaan yang diketuai WRI mendapati perubahan dalam landskap hutan di seluruh dunia sejak 2014, menggunakan teknologi satelit dan kaedah lain.
Menurut kajian itu, kawasan yang musnah pada 2022 mengeluarkan 2.7 gigaton CO2 atau kira-kira bersamaan dengan pelepasan tahunan daripada bahan api fosil di India. – BERNAMA