HomeGaya HidupKurang tidur punca manusia jadi nyanyuk?

Kurang tidur punca manusia jadi nyanyuk?

SETIAP manusia perlu mendapatkan tidur yang secukupnya.

Hal ini amat penting bagi memastikan sistem tubuh badan manusia berfungsi sekali gus dapat mengatasi masalah berkaitan lupa seperti Alzheimer dan demensia atau nyanyuk.

Malah, saintis turut menjalankan kajian dan mendapati bahawa penyakit Alzheimer serta demensia dipengaruhi jumlah tidur seseorang.

Ketika ini, setiap orang dewasa memerlukan tidur sekurang-kurangnya tujuh jam pada setiap malam.

Sejumlah 55 juta orang di seluruh dunia hidup dalam demensia dan ia dijangka meningkat ke 78 juta orang pada 2030 dan 139 orang pada 2050.

Umum mengetahui waktu tidur memainkan peranan bagi fungsi otak dan banyak manusia yang mempunyai pengalaman dimensia dikesan mempunyai gangguan tidur.

Menurut Ahli Neuropsikologi, Dr Karen D Sullivan, yang juga pengasas I Care For Your Brain, tidur bukan sahaja asas kesihatan fizikal dan mental malah bermanfaat untuk kesihatan otak.

“Terdapat beberapa fungsi utama yang berlaku semasa kita tidur termasuk penyatuan memori, pemprosesan emosi dan proses pembersihan yang mendalam.

“Sewaktu tidur yang nyenyak, cecair serebrospinal dan sistem imun otak membersihkan bahan buangan daripada sel otak kita.

“Apabila kita terjaga, neuron menghasilkan bahan kimia yang dipanggil adenosin – hasil sampingan aktiviti sel.

“Tanpa tidur nyenyak yang konsisten, akan berlaku pembersihan yang tidak lengkap daripada adenosin dan bahan buangan lain seperti sel darah dan hasilnya adalah keradangan kronik. Keradangan kronik adalah punca banyak penyakit dan gangguan otak,” kata Dr Sullivan seperti dilapor Berita Harian.

Ketua Pegawai Produk Linus Health, Dr John Showalter pula berkata, tidur penting kerana ia adalah keadaan pemulihan yang bermakna otak dan badan sedang mengalami keadaan perlahan untuk pulih daripada aktiviti pada hari berkenaan.

“Tanpa masa untuk pulih, otak tidak dapat membaiki dirinya dengan secukupnya daripada kehausan kehidupan seharian.

“Lama-kelamaan kekurangan pembaikan ini akan membawa kepada disfungsi dan penyakit,” katanya.

Author

Pilihan Editor