HomeBeritaKeadaan Abdul Hadi semakin baik, dipindah ke wad biasa

Keadaan Abdul Hadi semakin baik, dipindah ke wad biasa

KOTA BHARU: Keadaan kesihatan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang semakin stabil hari ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Abdul Hadi sudah dipindahkan ke wad biasa berbanding Unit Rawatan Koronari (CCU) sebelum ini.

“Hari ini keadaan beliau semakin baik dan sudah dipindahkan ke wad biasa.

“Beliau bagaimanapun masih lagi dalam rawatan dan pemerhatian doktor,” katanya seperti dilapor Sinar Harian pada Ahad.

Menurut Mohd Amar, tiada sebarang lawatan ziarah dilakukan kerana memberi ruang Abdul Hadi untuk pulih.

“Semua tidak melawat, biarlah beliau rehat betul-betul dan kita doakan semoga beliau cepat sembuh,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, beberapa program membabitkan Abdul Hadi terpaksa ditangguhkan sementara kerana keadaan kesihatannya yang merosot sebelum Aidiladha lalu.

Program terakhir dihadiri Abdul Hadi yang juga bekas Menteri Besar Terengganu itu adalah majlis perasmian jentera Pilihan Raya Dewan Pemuda (DPP) Pas negeri yang diadakan di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang, Rabu lalu.

Authors

Pilihan Editor