HomeHiburanAla Ala Ewah bawa mesej kepada industri muzik Malaysia

Ala Ala Ewah bawa mesej kepada industri muzik Malaysia

KUALA LUMPUR: Selagi hayat dikandung badan, Ratu Etnik Kreatif, Noraniza Idris akan terus membantu mewarnai industri muzik dengan perjuangannya memberi nafas kepada irama tradisional Malaysia.

Bakal muncul dengan ‘single’ baharu, Ala Ala Ewah, Bintang RTM 1983 dan 1985 itu memperbaharui portfolio seninya dengan mengetengahkan elemen kebanggaan Melayu, iaitu zapin yang dilancarkan bulan depan.

Ala Ala Ewah adalah single duet hasil kerjasama, syarikat rakamannya, Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd dan gandingan penerbit hebat yang cenderung mengangkat seni muzik Melayu, Luca Sickta dan Kmy Kmo.

Bagaimanapun, Noraniza yang lebih mesra dipanggil Kak Ani, 54, tidak mendedahkan butiran rakan duetnya dengan lebih lanjut.

Yang pasti, ia bukan gandingan lama bersama penyanyi rap muda, Bunga Isme yang popular dengan lagu berelemen gamelan, Intan Payung, tahun lalu.

“Sebelum ini, Kak Ani ‘featuring’ dengan Bunga, tetapi kali ini dengan artis bukan lama, bukan baharu. Dia ada pengikut dia sendiri.

“Sebab daripada kolaborasi ini, Kak Ani nampak ada gabungan dan memilih untuk ketengahkan zapin kerana ia ada ragam tertentu. Dari segi tari, dikatakan simbolik pergerakannya lebih kepada solat lima waktu,” katanya ketika ditemui MEDIA VARIASI di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), di sini.

Pelopor kepada lagu-lagu Pop Etnik dan Tradisional itu berkata, lagu itu juga akan menyerikan konsert pertama dan terakhir berskala mega, Malai Solo selepas lebih tiga dekad mencipta nama di pentas seni, dijangka pada Oktober nanti.

“Jika tiada aral melintang, Kak Ani akan lancar lagu ini secara rasmi bulan September dan akan ada di konsert nanti.

“Pemilihan elemen zapin dalam lagu baharu ini juga kita letakkan sebagai ‘tool’ atau penggerak mesej (irama tradisional) kepada industri muzik tanah air,” kata pasangan kepada Juffri Hudi.

Nama Noraniza dikenali dalam industri muzik negara sehingga kini kerana lagu pop tradisional seperti Dikir Puteri, Dondang Dendang, Zapin Pusaka serta lagu duet bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi lagu Hati Kama.

Author

Pilihan Editor