CYBERJAYA: Orang ramai digesa untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik, Armila Beauty Kak ELL Pigment Booster kerana dikesan mengandungi racun berjadual yang boleh memudaratkan kesihatan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, produk tersebut mengandungi betamethasone 17-valerate, ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
Beliau berkata, penggunaan bahan tersebut tanpa pengawasan boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan yang tidak diingini.
“Ini termasuk boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.
“Susulan itu, notifikasi produk berkenaan dibatalkan Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan (KKM) dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Muhammad Radzi mengingatkan kepada penjual dan pengedar produk kosmetik ini menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Katanya, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.
Manakala, katanya, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” jelasnya.