HomeBeritaMahkamah & JenayahGeng Eddy tumpas, bekas pemain bola antara ditahan kes pecah rumah

Geng Eddy tumpas, bekas pemain bola antara ditahan kes pecah rumah

SEORANG bekas pemain bola sepak antara lima anggota ‘Geng Eddy’ yang ditahan selepas dipercayai aktif dalam kegiatan pecah rumah di daerah Pontian, Batu Pahat, Muar dan Tangkak, Johor sejak Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superitendan Mohammad Shofee Tayib berkata, penangkapan kesemua suspek berusia 24 hingga 34 tahun itu sekali gus berjaya menyelesaikan 13 kes pecah rumah, dengan kerugian dianggarkan mencecah RM350,000.

Beliau berkata, dalam kejadian tersebut, dua suspek berjaya ditahan selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Sanglang, Pontian pada 13 Julai lalu, manakala tiga lagi melarikan diri sebelum ditangkap di dua lokasi berbeza di sekitar Forest City, Iskandar Puteri dan Johor Bahru, pada hari yang sama.

“Sebelum ditahan, suspek sedang memecah masuk sebuah rumah di Sanglang, Benut yang disedari pemilik yang kemudiannya mengejar suspek yang melarikan diri menaiki kereta sebelum terbabas berhampiran lokasi kejadian.

“Hasil siasatan mendapati, “Geng Eddy” melakukan pecah rumah pada siang hari ketika penghuni rumah keluar bekerja. Mereka akan mengumpil pintu pagar dan tingkap sebelum masuk ke dalam rumah dan mencuri barangan berharga seperti barang kemas, wang tunai, jam dan beg berjenama,” katanya dilapor Sinar Harian.

Jelasnya, susulan daripada tangkapan itu, polis berjaya menemui wang tunai termasuk mata wang Korea Utara Won (KPW), barang kemas, beg berjenama, telefon bimbit, komputer riba, pakaian, resit jualan emas dan peralatan pecah rumah.

“Kesemua suspek didapati positif dadah manakala semakan rekod jenayah mendapati kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Kesemua suspek ditahan reman sehingga 17 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Author

Pilihan Editor