HomeBeritaPolitikJangan undi sebab duit - Tun M

Jangan undi sebab duit – Tun M

PUTRAJAYA: “Jangan buang undi sebab anda dapat duit (rasuah),” itu nasihat bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti.

Menurutnya, pengundi seharusnya lebih bertanggungjawab terhadap negara ini dan tidak tunduk kepada politik wang.

“Jika anda sayang negara ini, jangan jual negara kepada rasuah dan jangan libatkan diri dengan amalan rasuah,” katanya seperti dilapor Kosmo hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penutup Program Kepimpinan Perusahaan Kecil dan Sederhana di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.

Pada masa sama, Dr. Mahathir berkata, beliau juga mencabar mana-mana pihak untuk membuktikan bahawa beliau pernah terbabit rasuah.

“Orang cakap saya juga pernah terbabit rasuah, buktikan perkara itu. Saya terbuka dalam hal itu dan anda boleh geledah mana-mana jabatan untuk siasat perkara itu. Itu satu dakwaan yang jahat,” katanya.

Sementara itu, pada sesi soal jawab bersama peserta program, Dr. Mahathir mendedahkan, kekalahannya di kerusi Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) juga disebabkan amalan rasuah.

“Saya pernah bertanya salah seorang pengundi di sana (Langkawi) yang juga kawan saya, kenapa anda tidak undi saya, dia menjawab saya tidak beri dia duit.

“Saya tanya lagi, berapa duit dia dapat, dia jawab RM100. Saya tanya dia, apa boleh buat dengan RM100 dan dia jawab duit itu boleh dibelanja untuk dua hari,” jelasnya.

Authors

Pilihan Editor