PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melarang seluruh Universiti Awam (UA) menggunakan peruntukan dana kerajaan untuk tujuan penerbitan yang diterbitkan oleh tiga penerbit antarabangsa iaitu Hindawi, Frontier dan MDPI.
Larangan itu dibuat selepas KPT mengadakan Mesyuarat Pasca Kabinet Kementerian Pendidikan Tinggi berkenaan isu penglibatan ahli akademik yang menerbitkan artikel di jurnal-jurnal pemangsa (predatory journals) dan jurnal tidak berkualiti.
“Pihak Kementerian amat memandang serius tentang aspek integriti dan kewibawaan akademik dalam penyelidikan dan penerbitan.
“Satu jawatankuasa khas telah diwujudkan oleh pihak Kementerian sebagai usaha untuk mengawal aktiviti penerbitan jurnal yang tidak berkualiti bagi meningkatkan tahap etika akademik dan menjaga nama baik IPT dan negara,” katanya dalam kenyataan, di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, KPT turut menasihatkan agar pihak universiti memainkan peranan dalam memantau isu-isu berkaitan kualiti penerbitan dengan lebih teliti pada masa akan datang.