HomeBeritaInsiden tembakan di Auckland: Tiada rakyat Malaysia terlibat - Wisma Putra

Insiden tembakan di Auckland: Tiada rakyat Malaysia terlibat – Wisma Putra

 

PUTRAJAYA: Wisma Putra hari ini mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang terbabit dalam insiden tembakan rambang yang berlaku di Quay Street, Auckland, New Zealand, hari ini.

Wisma Putra dalam kenyataan menjelaskan, menurut laporan awal, seorang lelaki bersenjatakan senapang patah telah melepaskan tembakan rambang yang setakat ini telah meragut dua nyawa dan mencederakan enam orang yang lain.

Menurut kenyataan itu, penembak rambang tersebut juga dilaporkan telah mati di tempat kejadian.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai insiden tersebut,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular boleh berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington beralamat di 10 Washington Avenue Brooklyn PO Box 9422.

Mereka juga boleh menghubungi Suruhanjaya itu di talian +64-4-3852439 atau +64-210440188 (untuk kecemasan) atau email ke mwwellington@kln.gov.my.

“Sebarang perkembangan terkini mengenai insiden itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Author

Pilihan Editor