HomeBeritaPolitikKenapa Azmin Ali diam membisu isu Sanusi, soal Amirudin

Kenapa Azmin Ali diam membisu isu Sanusi, soal Amirudin

GOMBAK: Pentadbiran negara di bawah Perikatan Nasional (PN) selama 33 bulan adalah gagal dan tidak layak memerintah negara, kata Datuk Seri Amirudin Shari.

Hal ini kerana, Menteri Besar Selangor itu berkata, kebanyakan pemimpin parti tersebut diberi peluang menakluk negara dengan cara tidak bermaruah termasuk lompat parti dan perbuatan khianat, sama seperti yang pernah disebut rakyat.

“Sekarang cuba nak sebut kerajaan Selangor gagal? Tak tengok cermin muka?

“Bila kita keluar fakta, dia sebut kita sombong dan sombong tapi mereka boleh pula fitnah dan reka cerita.

“Bila kita sebut data kita spend (peruntukan untuk Selangor) sebanyak RM2.3 bilion, mereka kata kita tipu. Ini adalah jauh lebih buruk daripada orang sombong dan angkuh,” katanya berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Kerajaan Perpaduan DUN Hulu Kelang di sini pada Rabu.

Turut hadir Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu; Pengerusi Perhubungan UMNO, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan beberapa kepimpinan PH dan BN.

Menurut Amirudin yang juga Naib Presiden PKR, pihak pembangkang terpaksa menjemput pemimpin seperti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Selangor, selepas tidak dapat menerima kenyataan mengenai pencapaian kerajaan negeri.

Ini kerana, katanya, pemimpin tersebut mampu bersuara lantang dan bebas bersuara termasuk mengeluarkan perkataan tidak sepatutnya.

“Dia kutuk saya tak apa sebab ahli politik sudah terbiasa.Tetapi jangan sampai sentuh kesultanan dan istana. Ini sudah diingatkan.

“Tapi malangnya, apabila beliau sudah diambil tindakan, ada yang putar belit mengaitkan dengan pilihan raya dan ada juga minta belas kasihan persoal kenapa beliau ditahan pukul 3 pagi,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin hairan apabila tiada seorang pun ahli PAS Negeri Selangor yang menyatakan pendirian mengenai tuduhan yang dihadapi Muhammad Sanusi.

Apatah lagi, katanya, Datuk Seri Azmin Ali yang dilapor bakal bertanding di Hulu Kelang di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan turut berdiam diri mengenai perkara tersebut.

“Kenapa diam membisu dan tidak berkata apa-apa? Kenapa jadi pemimpin patung tak berani tegur.

“Sekurang-kurangnya tegurlah kalau terlepas cakap. Sebab dia rasa ada keuntungan politik dan rasa boleh menang (PRN),” tambahnya.

Terdahulu, Muhammad Sanusi didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua tuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Author

Pilihan Editor