HomeMV+EksklusifKegiatan sindiket tunda kereta bermaharajalela di MAHA 2022?

Kegiatan sindiket tunda kereta bermaharajalela di MAHA 2022?

KUALA LUMPUR: Kegiatan tunda kereta pengunjung yang didakwa melakukan kesalahan meletak kereta di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di MAEPS dan mengenakan kompaun RM100 setiap kenderaan menimbulkan pelbagai persoalan.

Ini kerana semua kenderaan yang memasuki pekarangan MAEPS, telah pun dikenakan caj RM5 melalui Touch N Go.

Siasatan MEDIA VARIASI mendapati, tiada notis pemberitahuan dikeluarkan hanya notis mulut sahaja setelah pemilik terkejut kereta mereka ‘ghaib’ dari tempat letak kereta.

Modus operandinya, petugas akan membiarkan orang ramai memasuki tempat letak kereta dan tempat letak kereta itu pula tidak ada papan tanda amaran kereta akan ditunda.

Sebaik sahaja pemilik beredar mereka akan panggil trak penunda menggunakan radio ‘walkie talkie’.

Trak penunda sedang menunda kereta pengunjung MAHA 2022 di MAEPS.

Apabila pemilik mencari kenderaan mereka yang telah pun hilang, mereka akan cemas dan bertanya kepada petugas berkaitan sama ada kereta mereka dicuri.

Petugas akan memaklumkan, “bukan kena curi tetapi kena towing, encik selesaikan towing RM100 dahulu”.

Tiada notis yang dicatatkan bukti bertulis saman itu dan bentuk kesalahan.

Kompaun secara lisan ini perlu dibayar sebelum pemilik dibenarkan ambil kenderaan dalam kawasan MAEPS juga.

Hanya ada meja dan khemah, tiada sebarang notis papan tanda yang mengandungi butiran harga caj letak kereta, had masa letak kereta, syarikat operator letak kereta dan nombor lesen mengutip bayaran letak kereta dari Majlis Bandaraya Subang Jaya.

Berita berkaitan: MAFI arah henti operasi tunda kereta di MAHA 2022 serta-merta

 

Ia menimbulkan persoalan di kalangan pemilik kenderaan yang masuk telah pun dikenakan bayaran RM5.

Petugas MAEPS hanya membiarkan orang ramai meletak kereta tetapi kemudiannya bertindak memanggil trak penunda milik subkontraktor MARDI untuk menunda kereta-kereta pengunjung.

Seandainya syarikat operator ini sudah mendapat lesen beroperasi di situ, adakah mereka telah melalui proses tender terbuka, tiga sebut harga daripada syarikat tunda kereta yang mahu memajak kawasan letak kereta itu?

Kejadian ini bukan pertama berlaku, malah sudah ramai petugas media, pengunjung dan peniaga yang menerima nasib sama.

Difahamkan, penunda-penunda mendapat komisyen daripada setiap kenderaan yang ditarik.

Pemilik yang mahu keluarkan kenderaan mereka terpaksa bayar, anehnya bayaran itu perlu dimasukkan ke akaun peribadi walaupun resit bayaran di bawah MARDI MAEPS Sdn Bhd.

Resit bayaran dikeluarkan dibawah nama MARDI MAEPS Sdn Bhd.
Resit bayaran kompaun kereta tunda dibuat ke atas akaun milik peribadi bukan di bawah nama syarikat.

Seorang petugas media yang turut dikenakan kompaun secara lisan dan keretanya ditunda, Mohsin, berkata dia datang atas jemputan membuat liputan media di MAHA 2022.

“Ketika masuk dah kena bayar RM5, itu tiada masalah tetapi ketika saya tanya petugas di mana boleh parkir, dia tunjuk di kawasan parkir bas, jadi saya dan seorang lagi petugas media parkir kenderaan kami di situ.

“Kami terkejut apabila kereta kami hilang dan ketika ditanya kata petugas sudah ditunda dan perlu bayar kompaun RM100.

“Kami datang untuk buat liputan, naikkan nama MAHA 2022 tetapi ini pula yang berlaku? Tak masuk akal,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Seorang lagi pemilik kenderaan yang ditunda, Faizul yang juga peniaga di MAHA 2022 sudah berniaga sejak 2008 memberitahu MEDIA VARIASI dia terkejut apabila dikompaun secara lisan RM100.

“Ini kali pertama kereta kena tunda, sejak tahun 2008 hingga 2022 ini kali pertama.

“Saya sudah ada pelekat, ada Touch N Go, apa guna bayar mahal ‘parking’ tapi kena saman pula,” katanya.

Berita berkaitan: MAFI arah henti operasi tunda kereta di MAHA 2022 serta-merta

Lebih mengejutkan hasil semakan MEDIA VARIASI, badan berkanun atau kerajaan tidak boleh mengutip sewa letak kereta di premis yang diwartakan khususnya pada hari Sabtu dan Ahad.

Ini berbeza dengan tempat letak kereta Stadium Bukit Jalil yang sudah mempamerkan nama operator berlesen dengan notis had harga dan kutipan.

Author

1 COMMENT

Pilihan Editor