HomeBeritaMAFI arah henti operasi tunda kereta di MAHA 2022 serta-merta

MAFI arah henti operasi tunda kereta di MAHA 2022 serta-merta

SERDANG: Pihak pengurusan acara Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 diarahkan untuk menghentikan operasi tunda kereta, berkuat kuasa, serta-merta.

Arahan itu dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini.

Ia susulan, laporan eksklusif MEDIA VARIASI berhubung artikel ‘Media, pengunjung terkejut kereta ditunda, disaman RM100 tanpa notis di MAHA 2022’, semalam.

Berita berkaitan: Kegiatan sindiket tunda kereta bermaharajalela di MAHA 2022?

 

Menurut kenyataan itu, operasi tunda kereta dibuat bagi memastikan aliran trafik dan lalu lintas berjalan lancar dan efisien.

Selain itu, ia membantu kelancaran sistem letak kereta di setiap kawasan letak kereta dalam MAEPS bagi mengelakkan aliran trafik menjadi sesak apabila terdapat kenderaan yang menghalang kenderaan lain.

“Walau bagaimanapun, MAFI telah mengarahkan pihak pengurusan acara MAHA 2022 untuk menghentikan semua operasi tunda kereta di MAEPS, Serdang sepanjang penganjuran MAHA 2022 berkuat kuasa serta-merta.

“Mulai hari ini juga, petugas media hanya perlu menunjukkan pas media kepada petugas atau pengawal pintu masuk MAEPS untuk ke parkir yang dikhaskan di belakang Dewan A, MAEPS,” demikian menurut kenyataan itu.

Bagi kenderaan awam perlu diletakkan di tempat yang disediakan.

Kenyataan itu menambah, sebanyak 5,000 lot letak kereta disediakan di Laman Tiba 1.

Selain itu, sebanyak 3,500 lot letak kereta di Laman Tiba 2 disediakan bagi kemudahan pengunjung sepanjang MAHA 2022 berlangsung.

“Pengunjung dinasihatkan untuk meletakkan kenderaan di tempat yang disediakan bagi mengelakkan sebarang kesulitan kepada pengguna jalan raya dan menyebabkan kesesakan.

“Pihak MAFI akan sentiasa memastikan kemudahan, keselesaan dan keselamatan para pengunjung dan petugas media diberi perhatian sepanjang penganjuran MAHA 2022,” katanya.

Katanya, hari ketiga penganjuran merekodkan seramai 404,000 pengunjung ke pameran dwitahunan yang kali terakhir diadakan pada 2018 itu, di sini, sehingga 14 Ogos ini.

MEDIA VARIASI semalam melaporkan, pengamal media yang hadir untuk membuat liputan di MAHA 2022, terkejut dikenakan saman tanpa notis sebanyak RM100.

Insiden berlaku kira-kira jam 12 tengah hari apabila dua pengamal media terkejut kereta-kereta mereka ‘ghaib’ di satu lot letak kereta sebagaimana diarahkan pada awalnya oleh penganjur MAHA, MAEPS untuk kereta media.

Difahamkan, beberapa media daripada Bernama dan TV3 turut disaman selain pengunjung dan pempamer di kawasan sama sejak hari pertama.

Lebih aneh, syarikat yang menjaga tempat letak kereta itu tidak mempamerkan lesen daripada PBT.

Menurut seorang peniaga yang telah menyertai MAHA MAEPS sejak 2008 lagi, inilah kali pertama dia ditunda oleh pihak dalam MAEPS dan disaman operator tempat letak kereta RM100.

Berita berkaitan: Kegiatan sindiket tunda kereta bermaharajalela di MAHA 2022?

Author

Pilihan Editor