HomeBeritaRoti canai tak laku gara-gara pelanggan merokok

Roti canai tak laku gara-gara pelanggan merokok

CYBERJAYA: Seorang peniaga roti canai di Kota Bharu, Kelantan, terpaksa menanggung kerugian hampir 80 peratus selepas isu pelanggan merokok di kedainya tular sejak minggu lalu.

Peniaga, Wan Nurul Hazana Wan Khadir, 35, berkata, perniagaan roti canai yang diusahakannya semakin teruk apabila hasil perniagaan yang diraih sekitar RM500 hingga RM600 sehari sebelum ini berkurang sehingga RM100 sahaja.

“Bukan nak mengeluh, tetapi nak beritahu, akibat kena tular pasal kakitangan hospital hisap rokok dalam kedai, kami hilang pendapatan.

“Roti canai biasanya 15 kilogram (kg) habis setiap hari, sekarang 2 kg pun tak habis,” katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.

Tambahnya, kejadian itu pertama kali berlaku sejak 15 tahun berniaga di kawasan tersebut walaupun sudah meletakkan tanda larangan merokok di kedainya.

Bercerita kisah kejadian yang tular itu, Wan Nurul Hazana menyatakan bahawa kakitangan itu adalah pelanggan tetapnya kerana kedai makan terletak berdekatan hospital namun bukan semuanya merokok akan tetapi, tindakan sesetengah pihak menyebabkan pelanggan lain takut untuk datang.

“Isu sebenar nak beritahu kakitangan yang menghisap rokok dalam kedai makan tetapi saya pula yang menanggung akibat apabila pelanggan tidak datang.

“Pihak yang menularkan perkara ini sepatutnya bertanggungjawab dan memikirkan dahulu kesan kepada peniaga seperti saya sebelum berbuat demikian,” katanya.

Wan Nurul Hazana berharap keadaan itu tidak berlarutan kerana dia perlu membayar gaji kepada penebar roti canai sebanyak RM50 sehari dan sewa kedai RM300.

“Saya juga berharap pihak yang menularkan perkara itu tampil membuat permohonan maaf,” katanya.

Author

Pilihan Editor