HomeBeritaPolitikDAP yakin mampu menang 15 DUN Selangor

DAP yakin mampu menang 15 DUN Selangor

KUALA LUMPUR: Lau Weng San yakin DAP mampu memenangi kesemua 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bulan depan.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting itu berkata, ini berdasarkan pengalaman parti itu ketika menerajui beberapa kawasan DUN Selangor sebelum ini.

“Saya harap kita dapat lebih banyak sokongan terutamanya pengundi muda, pengundi wanita dan masyarakat daripada pelbagai kaum untuk keluar mengundi,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon DAP PRN di sini pada Isnin.

Pada majlis itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengumumkan seramai 15 calon akan dipertandingkan pada PRN Selangor termasuk enam muka baharu.

Majlis sama turut menamakan Weng San sebagai Speaker DUN Selangor sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memenangi PRN kali ini.

Loke berkata, perkara itu merupakan syarat yang sudah ditetapkan susulan DAP telah menyerahkan DUN Dusun Tua kepada BN.

Di bawah pentadbiran PH, Weng San menganggap Selangor sebagai contoh negeri Madani dan pemula pembangunan di negara ini.

Hal ini kerana, katanya, rakyat negeri itu sudah menikmati kehidupan yang telus, bersih, efisyen dan majmuk selain berlandaskan ajaran agama Islam sejak 15 tahun lalu.

“Oleh sebab itu, Selangor perlu dikekalkan di bawah pentadbiran kerajaan sedia ada.

“Ini demi memastikan kestabilan politik di negeri itu dapat dikekalkan,” ujarnya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), DAP memenangi 16 kerusi DUN iaitu di Sekinchan, Kuala Kubu Baharu, Teratai, Dusun Tua, Balakong, Seri Kembangan, Kinrara, Subang Jaya, Bukit Gasing, Kampung Tunku, Bandar Utama, Bandar Baru Klang, Pandamaran, Kota Kemuning, Banting dan Sungai Pelek.

Namun, kerusi DAP berkurangan apabila ADUN Teratai, Bryan Lai Wai Chong, mengumumkan keluar parti untuk bergerak sebagai wakil rakyat bebas pada 2021 sebelum menyertai Warisan, tahun lepas.

Author

Pilihan Editor