CYBERJAYA: Penyanyi dangdut, Baby Shima mengejutkan ramai pihak selepas mengumumkan dirinya bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menerusi hantaran video Instagram Baby Shima, dia nekad untuk bertanding kerana mahu membela nasib rakyat.
“Assalamualaikum rakyat Malaysia, dengan ini saya ingin mengumumkan yang saya akan bertanding PRN ini untuk berkhidmat dan membela rakyat.
“Ingat kamu (pengundi) bawa perubahan kepada negara. Fikir-fikirkan lah anak muda,” katanya.
Bagaimanapun, Baby shima tidak memaklumkan parti mana yang akan diwakilinya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 5 Julai lalu menetapkan PRN di enam negeri diadakan serentak dengan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian manakala 29 Julai sebagai hari penamaan calon.
Sementara itu, hari pengundian awal ialah pada 8 Ogos ini.