HomeBeritaMahkamah & Jenayah84 GRO warga asing antara ditahan polis dalam serbuan pusat hiburan KTV

84 GRO warga asing antara ditahan polis dalam serbuan pusat hiburan KTV

KUALA LUMPUR: Seramai 84 wanita warga asing yang dipercayai bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) yang berumur 18 hingga 46 tahun antara yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Bukit Bintang pada Ahad.

Serbuan kira-kira jam 1.10 pagi itu dijalankan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sembilan warga tempatan membabitkan pengurus premis, penjaga kaunter dan pekerja di pusat hiburan yang berusia 31 hingga 45 turut ditahan dalam operasi berikut.

“Pemeriksaan juga dilakukan terhadap 22 GRO warga tempatan, 46 pekerja dan 336 pelanggan. 

“Hasil saringan awal ujian air kencing mendapati enam orang pelanggan positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai barang antaranya resit pekerja GRO, minuman keras, perakam video, telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM13,862.

Tambah Razarudin, premis berkonsepkan pusat hiburan KTV itu menyediakan 17 bilik karaoke mengikut pakej bayaran bermula RM3,800 hingga RM25,000.

Jelasnya, premis yang beroperasi bermula 8 malam sehingga 6 pagi itu turut menyediakan GRO warga asing dan tempatan atas permintaan pelanggan dengan kadar bayaran yang ditetapkan.

“Pemeriksaan mendapati premis ini tidak mempunyai sebarang lesen pusat hiburan yang sah serta menyalahgunakan lesen restoran/ kedai makan yang dikeluarkan oleh pihak DBKL,” ujarnya.

Dalam pada itu, PDRM menasihati semua pusat hiburan supaya mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh penguatkuasa sekiranya menjalankan perniagaan berbentuk hiburan.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya masih terdapat pengusaha pusat hiburan yang menjalankan aktiviti terlarang seperti menggajikan GRO warga asing, persundalan dan penjualan/penggunaan dadah di dalam premis hiburan,” tegasnya.

Author

Pilihan Editor