MAHKAMAH Israel pada Isnin memerintahkan 500 penduduk Palestin di Ras Jrabah mengosongkan dan merobohkan kediaman masing-masing, bagi memberi ruang kepada pembinaan penempatan haram Israel.
Ras Jrabah adalah sebuah perkampungan yang wujud di Negev (Nagav) sebelum penubuhan negara penjajah, Israel.
Firma guaman, Adalah yang mewakili penduduk Israel memberi hujah bahawa, mereka sudah memiliki dan menetap di tanah itu selama beberapa generasi, sebelum Undang-Undang Tanah 1970 mendaftarkan tanah dan mengesahkan hartanah milik kerajaan.
Meskipun sudah beberapa dekad menetap di kawasan itu, Mahkamah Majistret Beersheba masih menolak dakwaan bahawa penduduk Palestin mempunyai kuasa sah untuk tinggal di tanah tersebut.
Selain mendakwa bahawa bukti dikemukakan oleh penduduk Palestin tidak mencukupi dan mengarahkan mereka berpindah menjelang Mac 2024, Hakim Israel, Menachem Shahak turut memerintahkan mereka untuk membayar 117,000 shekel (AS$31,360) atas tuduhan melanggar undang-undang.
Sebelum ini, pihak berkuasa Israel bercadang untuk meluaskan bandar Dimona, dengan menduduki Ras Jrabah serta mengubahnya menjadi satu lagi penempatan haram dipanggil Rotem.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Israel hanya menawarkan penduduk Palestin yang terlibat untuk berpindah ke bandar Qasr Al-Sir, yang turut dimilliki keluarga Palestin.
Kelulusan mahkamah dibuat selepas Israel gagal dalam percubaannya untuk mengosongkan kampung itu pada 30 tahun lalu.
Masyarakat Badwi Palestin di Negev (Naqab) menghadapi ancaman untuk melakukan perpindahan secara paksa selama beberapa dekad.
Antara kekejaman dilakukan oleh rejim Zionis Israel adalah merampas tanah dan meratakan rumah penduduk Palestin.
Sementara itu, Adalah mengecam tindakan Israel merampas hak milik penduduk Palestin.
Adalah berkata, tindakan memindahkan penduduk kampung itu adalah sebahagian daripada strategi pengasingan kaum.
“Sejak (Perang) Nakba, Israel telah menggunakan pelbagai kaedah dan dasar untuk memindahkan penduduk Badwi secara paksa.
“Ini juga menjadi bukti jelas bahawa Israel melakukan jenayah terhadap warga Palestin manakala campur tangan antarabangsa segera diperlukan untuk menghentikannya,” katanya yang akan membuat rayuan berhubung keputusan hakim.