CYBERJAYA: Ibu bapa mana yang tidak bimbang jika melihat anak jatuh sakit.
Tambah pula cuaca kini yang sukar diramal membuatkan si kecil mudah selsema, batuk-batuk, suhu badan naik sehingga demam tinggi.
Selain daripada mendapatkan rawatan di klinik kesihatan, pasti ada sebilangan ibu bapa yang turut gemar mencari ikhtiar lain seperti menggunakan bahan semula jadi untuk merawat si kecil.
Baru-baru ini, seorang pengguna Facebook berkongsi petua membantu anak-anak yang demam kembali sihat menerusi penggunaan kaedah ‘wet sock treatment’.
Menurut Noraliza Alwi, kaedah berkenaan boleh dilakukan dengan hanya menggunakan satu bahan semula jadi iaitu buah lemon.
“Saya nak share petua yang sampai sekarang saya guna kalau anak demam. Anak kecil, besar, dewasa boleh guna pakai cara ni, ikhtiar dengan lemon.
“Caranya, hiris nipis dua keping lemon, letak dalam stokin. Orang puteh kata wet sock treatment. Satu kaedah nak turunkan suhu badan.
“Wet sock treatment asalnya guna air biasa sahaja. Tapi kita tambah zat lemon sikit. Dalam lemon ada bioflavonoids dan quercetin semacam antihistamine dan antiviral atau fungsi macam antibiotic. Cara ni boleh bantu ‘tarik demam’,” kongsinya.
Berikut adalah cara penggunaan kaedah ‘Wet sock treatment’:
– Lepas sarung stokin berlemon pada kaki anak, cuba tidurkan dia, kalau masih panas, jelum kepalanya dengan tuala basah guna air lemon.
– Insyaallah biasanya dalam 10-15 minit akan nampak suhu badan menurun rambut dan bahagian leher mula dedar.
– Alhamduillah, setakat ini cara ini menjadi, tak perlu beratur di klinik. Tak perlu ubat berpanjangan.
– Standby saja lemon dirumah, kita tak tahu emergency boleh berlaku bila-bila.