NEW YORK: Pemilik X, Elon Musk melelong 584 barang termasuk tanda bangunan Twitter dan beberapa barangan lain daripada syarikat itu selepas penjenamaan semula firma itu sebagai X.
Lelongan yang dikenali sebagai ‘Penjenamaan Semula Twitter: Lelongan Dalam Talian Menampilkan Memorabilia, Seni, Aset Pejabat & Banyak Lagi!’ itu turut menawarkan barangan seperti meja kopi, sangkar burung serta lukisan minyak, lapor BBC.
Malah, salah satu tanda Twitter yang masih dipasang di ibu pejabat syarikat di 10th Street di San Francisco turut dilelong.
“Burung Twitter masih dipasang di sisi bangunan. Pembeli bertanggungjawab untuk mengupah Syarikat Berlesen SF dengan permit yang sesuai,” tulisnya.
Turut disenaraikan dalam barangan lelong itu adalah puluhan meja dan kerusi, gerai DJ dan peralatan muzik.
Terdahulu, syarikat Musk itu membuang logo burung biru daripada penjenamaan dan menggantikannya dengan logo X berwarna hitam dan putih.