HomeGlobalRamai lelaki botak di Republik Czech

Ramai lelaki botak di Republik Czech

LONDON: Dapatan World Population Review berdasarkan data dari Vantage Hair Clinic mendapati Republik Czech adalah negara yang mempunyai bilangan lelaki berkepala botak paling ramai di dunia.

Lapor Daily Mail, Republik Czech menduduki tempat pertama dengan 42.8 peratus populasi lelaki dewasa mengalami masalah keguguran rambut.

Malah, jumlah itu turut membabitkan individu berbangsa Kaukasia iaitu golongan yang lebih cenderung mengalami masalah keguguran rambut lebih cepat berbanding kaum lain.

Dapatan yang melibatkan 21 negara itu turut mendapati, satu perempat populasi lelaki dalam proses mengalami keguguran rambut atau sudah botak sepenuhnya.

“Diet mungkin menjadi salah satu faktornya. Masakan Czech amat berat dalam sup pekat, stew, hidangan daging, kanji dan bir.

“Makanan ini kebarangkalian mempunyai jumlah vitamin dan mineral rendah yang diperlukan untuk pertumbuhan rambut,” jelas laporan itu.

Selain Republik Czech, Sepanyol turut tersenarai di kedudukan di tangga kedua dengan 42.6 peratus golongan lelaki mengalami masalah kepala botak.

Ia diikuti dengan Jerman pada tangga ketiga dengan mencatatkan 41.2 peratus dan Perancis di tempat keempat (39.24 peratus).

United Kingdom (UK) pula menduduki tempat kelima dengan 39.2 peratus lelaki mengalami sedikit masalah keguguran rambut manakala Amerika Syarikat (AS) berada di tangga kelapan dengan mencatatkan 38 peratus.

Menurut American Hair Loss Association (AHLA), kira-kira 95 peratus masalah keguguran rambut dialami golongan lelaki disebabkan oleh alopecia androgenetik.

Author

Pilihan Editor